KOTA BHARU - Seorang usahawan memohon nasihat orang ramai selepas tidak mampu membayar saman berjumlah RM1 juta susulan kritikan terbuka ke atas syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Dr Asran Alias dalam satu hantaran Facebook miliknya pada Rabu memaklumkan dia tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membayar saman.
"Ada tak sesiapa boleh bantu saya untuk selesaikan saman ini. Saya sedia patuh segala tuntutan daripada AKSB, tetapi tidak ada kemampuan untuk bayar RM1 juta," tulisnya.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini ialah menjalankan perniagaan dan kesihatan.
"Mulai hari ini, saya akui AKSB adalah syarikat perkhidmatan air terbaik di dunia, air paling bersih, sistem aduan paling canggih," katanya.
Hantaran Asran itu mendapat lebih 2,000 tanda suka dan 800 komen serta dikongsi oleh 395 pengguna Facebook.





