Sampah jadi duit! Trash To Cash jana jualan RM3.24 juta dalam tempoh 9 bulan

LocalEnvironment
25 Nov 2026 • 8:24 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Siapa sangka bahan buangan yang selama ini dianggap tidak lagi berguna sebenarnya mampu menjana pulangan ekonomi apabila diuruskan dengan betul.

Bukti sisa pepejal bukan sekadar bahan buangan

Menerusi program Trash To Cash kendalian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), lebih RM3.24 juta nilai jualan berjaya direkodkan hasil pengumpulan lebih 8.7 juta kilogram bahan kitar semula bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membuktikan sisa pepejal bukan sekadar bahan buangan, sebaliknya mempunyai potensi untuk menjadi sumber ekonomi menerusi amalan kitar semula.

“Program ini membuktikan bahawa amalan kitar semula bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan, malah mampu menghasilkan nilai ekonomi yang nyata melalui penglibatan aktif masyarakat.
“Usaha memperluas pengasingan sisa di punca dan amalan kitar semula perlu diperkukuh menerusi kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat bagi memastikan bahan yang masih bernilai dapat dimanfaatkan semula,” katanya.

Image from: Sampah jadi duit! Trash To Cash jana jualan RM3.24 juta dalam tempoh 9 bulan

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Pepejal Mampan 2026 (SWAM 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Kadar kitar semula kebangsaan tunjuk peningkatan

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pengalihan 48 peratus sisa pepejal daripada tapak pelupusan menjelang 2030 menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

Menurut Nga, kadar kitar semula kebangsaan menunjukkan peningkatan daripada 13.2 peratus pada 2014 kepada 37.9 peratus pada 2024, namun usaha lebih menyeluruh masih diperlukan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan.

“Kadar kitar semula kebangsaan telah meningkat daripada 13.2 peratus pada 2014 kepada 37.9 peratus pada 2024, namun usaha bersepadu masih diperlukan untuk memperluas pemulihan bahan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan.
“Cabaran kita bukan sekadar meningkatkan kadar kitar semula, tetapi membina ekosistem yang membolehkan setiap bahan yang boleh dipulihkan mempunyai nilai dan pasaran, disokong sistem kutipan cekap, kemudahan pemprosesan moden serta penggunaan teknologi bersesuaian,” katanya.

Image from: Sampah jadi duit! Trash To Cash jana jualan RM3.24 juta dalam tempoh 9 bulan

Untuk rekod, SWAM 2026 berlangsung selama dua hari bermula 24 November dengan penyertaan 500 peserta, 17 penceramah, lapan ahli panel dan 38 pempamer serta lebih 1,000 pengunjung.

Persidangan bertemakan ‘Beyond Waste: Creating a Sustainable Legacy for Future Generations’ itu turut membincangkan pelbagai aspek pengurusan sisa pepejal termasuk pemulihan tenaga, rawatan sisa makanan, teknologi kutipan automatik dan pengurusan tapak pelupusan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved