KRT MADANI kini diperkuat! GLC digalak jadi pemacu ekonomi & perpaduan – Aaron Ago

LocalPolitics
29 Aug 2025 • 11:04 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, mengumumkan bahawa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini diperkuat melalui inisiatif KRT Angkat MADANI.

Beliau berkata, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) digalak untuk menjadi pemacu pembangunan ekonomi dan perpaduan komuniti.

Pengumuman ini dibuat ketika beliau menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 Peringkat Kebangsaan bagi menghargai 50 tahun kejayaan Rukun Tetangga dalam membina komuniti harmoni.

image is not available

image is not available

KRT MADANI kini diperkuat!

Dalam ucapannya, beliau juga mengumumkan cadangan memanjangkan tempoh pelantikan jawatankuasa RT daripada dua kepada tiga tahun bagi setiap penggal.

Namun, pelantikan masih dihadkan kepada maksimum dua penggal berturut-turut, iaitu tidak melebihi enam tahun di kawasan yang sama.

Cadangan pindaan ini bertujuan membolehkan Ahli Jawatankuasa RT melaksanakan perancangan dan fungsi sepenuhnya, selaras dengan Seksyen 8 Akta 751.

image is not available

Selain itu, Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) akan dinaiktaraf sebagai pusat kecemerlangan latihan bagi pemimpin KRT Progresif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

image is not available

Beliau menekankan bahawa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan IKLIN perlu menjadi pemacu kerjasama strategik.

“Ini termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan pembangunan seperti INSKEN, SME Corp, PUNB, MARA Corp, TEKUN, AIM, Jabatan Pertanian, MARDI, FAMA, Bioeconomy Corp, dan Kraftangan Malaysia.
“Fokus kepada Ekonomi dan Sara Hidup menjadi teras utama dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Sehingga kini, sebanyak 504 projek ekonomi komuniti telah dibangunkan, merangkumi sektor pertanian, makanan, kraftangan, pelancongan, dan produk bukan makanan,”ujarnya.

image is not available

image is not available

Majlis turut menyaksikan pelancaran logo dan slogan baharu KRT: “Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan” dengan tujuan memperkukuh identiti serta peranan Rukun Tetangga dalam menyemai perpaduan nasional di peringkat akar umbi.

GLC dan GLIC perlu menjadi pemacu kerjasama strategik, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi komuniti tetapi juga dalam memperkukuh perpaduan rakyat di peringkat akar umbi,”ujar Aaron Ago.