
Kru Artemis II Terima Misi Dari NASA, Ini Antara Senarai Perlu Dibuat Ketika Terbang Melintasi Bulan
Kapal angkasa Orion yang membawa kru Misi Artemis II kini sedang menghampiri Bulan dan akan melaksanakan penerbangan melintasi satelit semula jadi itu sebelum terbang kembali ke Bumi.
Misi berkenaan merintis sejarah baharu penjelajahan angkasa lepas apabila buat kali pertama, manusia sekali lagi kembali kembali ke Bulan selepas kali terakhir pada 14 Disember 1972, menerusi Misi Apollo 17.
Walaupun Misi Artemis II tidak akan mendarat di Bulan, namun kru misi tersebut telah diberikan beberapa tugasan yang perlu dilaksanakan, terutamanya ketika melakukan penerbangan lintas pada 6 April.
Menurut kemas kini oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, arahan atau senarai akhir sasaran sains telah dihantar kepada kru Misi Artemis II oleh Pusat Kawalan pada Ahad.
Semakin menghampiri Bulan, kru Artemis II terima senarai akhir sasaran sains dari NASA
Senarai akhir sasaran sains itu mengandungi 30 lokasi permukaan Bulan untuk tujuan pemerhatian dan rakaman yang perlu dijalankan oleh anak kapal Orion.
Menjelang penerbangan tersebut, anak kapal akan melakukan persiapan terakhir dan mengadakan satu persidangan bersama Pusat Kawalan bagi memuktamadkan sasaran serta teknik pemantauan permukaan Bulan.

Antara lokasi yang berada dalam 30 senarai itu adalah Lembangan Orientale, iaitu sebuah kawah dengan kelebaran hampir 965 kilometer (600 batu) yang merentasi bahagian nampak (near side) dan bahagian gelap (far side) Bulan.
Orientale akan mendapat pencahayaan penuh dan boleh dilihat dengan jelas ketika kapal angkasa Orion menghampiri satelit semula jadi kepada Bumi itu.
Menurut NASA, kawah berusia 3.8 bilion tahun itu terbentuk apabila satu objek besar menghentam permukaan Bulan dan ia masih mengekalkan bukti jelas kesan pelanggaran tersebut, termasuk rupa topografi yang dramatik pada cecincinnya.
Kru Misi Artemis II dijadual mengkaji ciri-ciri Orientale secara dekat dan dari pelbagai sudut ketika mereka melintasi kawasan berkenaan.

Selain itu, kawasan yang dikenali sebagai Lembangan Hertzsprung turut tersenarai dalam sasaran pemerhatian yang diberikan kepada anak kapal Orion.
Kawah berukuran hampir 644 kilometer (400 batu) yang terletak di bahagian barat laut Orientale itu berada di bahagian gelap Bulan.
Baca juga:Sebagai sebuah lembangan bercecincin yang lebih berusia, Hertzsprung menawarkan perbandingan unik dengan Orientale berikutan ciri-cirinya yang telah terhakis akibat impak pelanggaran yang berlaku kemudian.
Menerusi penerbangan lintas ini, kru Misi Artemis II berpeluang membandingkan rupa topografi kedua-dua kawah tersebut dan memahami secara lebih mendalam mengenai bagaimana rupa bentuknya berevolusi dalam skala masa geologi.
