
Perjalanan empat hari krew Artemis II ke bulan dalam kapsul angkasa Integrity akan mencapai kemuncaknya awal pagi esok. Pada jam sekitar 1:30 pagi 7 April waktu Malaysia, Integrity akan memulakan perjalanan ke sisi jauh bulan dan sekaligus mencatatkan rekod perjalanan baharu paling jauh pernah dilakukan manusia daripada bumi.

Bagi yang ingin melihat sendiri sejarah ini dilakar secara langsung, NASA akan menstrimnya menerusi saluran YouTube rasmi dan juga Netflix. Integrity dijangka memecahkan rekod lama 400,171 km daripada bumi yang dicatatkan misi Apollo 13 pada tahun 1970 sekitar jam 7:07 pagi. Pada ketika ini Integrity akan berada 406,000 kilometer daripada bumi.
Malang sekali semasa rekod dicatatkan Integrity tidak boleh dihubungi kerana berada di belakang bulan sepenuhnya selama 40 minit bermula jam 6:44 pagi hingga 7:25 pagi. Krew akan dapat melihat permukaan sisi jauh bulan dan juga beberapa tapak misi Apollo yang dilakukan lebih 50 tahun semasa mengelilingi bulan.
Selepas semua ini selesai proses untuk kembali ke bumi akan dimulakan dengan Integrity dijangka mendarat di Lautan Pasifik pada 11 April depan.

