amree04/11/2026 - 11:15 Foto kredit Unsplash Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Ancaman siber, sabotaj, penyebaran maklumat palsu dan gangguan rantaian bekalan kini menjadi antara risiko keselamatan negara yang memerlukan perhatian serius kerajaan susulan ketidaktentuan geopolitik global pada ketika itu.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) memastikan fungsi penting kerajaan tidak terjejas jika berlaku gangguan terhadap kemudahan kritikal negara.
Arahan terbaharu berkenaan diputuskan selepas beliau memanggil kesemua ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan dalam satu pertemuan di Putrajaya pada Selasa.
"Penilaian risiko keselamatan negara perlu diperluaskan dan tidak lagi tertumpu kepada ancaman konvensional, sebaliknya turut mengambil kira ancaman bukan tradisional yang semakin kompleks," jelas beliau menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasminya.
Kata Shamsul Azri, perkembangan global yang tidak menentu serta konflik kepentingan geopolitik menuntut kerajaan untuk segera memperkukuhkan mekanisme bagi menangani ancaman siber, sabotaj, maklumat palsu dan gangguan rantaian bekalan.
Di samping itu, beliau menegaskan keperluan semua kementerian dan agensi kerajaan untuk dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan seluruh jentera dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Ujarnya, kementerian turut diarahkan memperkukuh penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat, kejelasan pembahagian tanggungjawab serta perancangan lebih tersusun bagi membolehkan tindakan segera diambil apabila berdepan ancaman.
"Semakan BCP itu penting bagi memastikan fungsi kritikal kerajaan terus beroperasi sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem komunikasi, bekalan tenaga, pengangkutan atau kemudahan penting negara," tegas Shamsul Azri.
Langkah berkenaan selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa berhubung usaha memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga mencukupi.
Anwar turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membincangkan mekanisme sedia ada, penyelarasan lebih ketat antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan serta langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Perdana Menteri juga berkata beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun mengeluarkan nasihat kepada rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan asas makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari susulan risiko krisis antarabangsa.
"Justeru kedaulatan dan keselamatan negara sama sekali tidak akan dikompromi, dengan kerajaan memberi keutamaan kepada setiap risiko yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat, kepentingan sektor strategik dan kestabilan negara," kata Shamsul Azri. - DagangNews.com



