Sinergi ATM-UPNM perkasa angkatan masa hadapan

LocalTechnology
19 Oct 2026 • 7:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sinergi ATM-UPNM perkasa angkatan masa hadapan

Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber merupakan langkah awal yang kritikal ke arah mewujudkan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat dalam struktur Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Inisiatif itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi ancaman peperangan era digital, khususnya dalam domain siber dan elektromagnetik.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber sempena sambutan Hari ATM ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, pada 19 September lalu.

Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang berteraskan bidang tujahan pertahanan dan keselamatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sentiasa bersedia untuk mendokong inisiatif murni ATM ini. UPNM mempunyai keunikan tersendiri dalam landskap pendidikan tinggi negara. Keistimewaan ini terletak pada gabungan tenaga pakar dan ahli akademik yang terdiri daripada anggota tentera dan orang awam.

Sinergi kepakaran ini memberikan UPNM kelebihan dan perspektif holistik untuk membantu memacu serta membentuk sebuah Angkatan Siber yang kredibel, kompeten serta digeruni.

Image from: Sinergi ATM-UPNM perkasa angkatan masa hadapan
Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad

Bagi merealisasikan visi keselamatan siber negara, UPNM telah mewujudkan Kluster Peperangan Elektronik/Elektromagnetik dan Siber di bawah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI). Kluster ini memainkan peranan proaktif dalam menyediakan platform kajian dan latihan yang relevan dengan bentuk ancaman asimetrik masa kini.

Selain itu, UPNM turut menawarkan pelbagai program sarjana dalam bidang digital dan keselamatan siber yang dirangka khusus untuk meningkatkan keupayaan modal insan warga ATM dan pelajar awam. Program pascasiswazah ini membekalkan mereka dengan pengetahuan yang mendalam serta kemahiran teknikal yang tinggi dalam pengurusan keselamatan siber dan peperangan elektromagnetik pada era digital.

Selari dengan agenda transformasi ATM, langkah menubuhkan Angkatan Siber ini dianggap amat bertepatan dengan hala tuju strategik UPNM. Ia turut selaras dengan usaha berterusan universiti untuk memperkasakan Kluster Peperangan Elektronik/Elektromagnetik dan Siber sebagai Pusat Kecemerlangan Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (Centre of Excellence in Artificial Intelligence and Cybersecurity).

Perancangan ke arah pengiktirafan itu telah terangkum dalam wawasan universiti menerusi Teras Strategik 2: Pusat Kecemerlangan dalam Pelan Strategik UPNM30 (2025 hingga 2030).

Menerusi Lonjakan Strategik 1 dalam pelan tersebut, UPNM menyasarkan penubuhan pusat kecemerlangan bertaraf HICoE (Pusat Kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi) yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khusus dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Penyatuan langkah antara Tim Nukleus Angkatan Siber yang menyediakan asas struktur dan integrasi masa hadapan dengan sokongan akademik serta kepakaran UPNM diyakini dapat memastikan rantaian pertahanan siber negara terus utuh.

UPNM akan terus komited menjadi rakan strategik utama ATM bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan Malaysia terus terpelihara ketika mengharungi cabaran dunia digital yang semakin kompleks. -KOSMO! ONLINE

The post Sinergi ATM-UPNM perkasa angkatan masa hadapan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved