KSN rasmi pameran seni visual memorial Mustaqim Rosde di UPSI

Art
12 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: KSN rasmi pameran seni visual memorial Mustaqim Rosde di UPSI
Tan Sri Shamsul Azri (tiga dari kanan) menurunkan tandatangan sempena merasmikan Pameran Pameran Seni Visual Memorial Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Photo credit: Khairida UPSI

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Perasmian Pameran Seni Visual Memorial Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, sebagai penghormatan kepada mahasiswa Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dalam ucapannya menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI, termasuk Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, dan mencederakan 27 lagi.

“Pada hari ini, kita bukan hanya menghargai seni, tetapi juga mengenang seorang anakanda, mahasiswa dan seniman berbakat yang telah pergi menemui Ilahi dalam tragedi menyentuh jiwa di Gerik,” kata beliau ketika menyempurnakan majlis berkenaan di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, hari ini.

Menurut beliau, pameran yang menampilkan 68 karya Allahyarham bukan sekadar paparan seni, tetapi satu penghormatan untuk mengingati dan menghargai sumbangan kreatif Allahyarham.

“Dalam seni, tiada penghujung bagi seorang seniman. Walaupun jasad beliau telah tiada, semangat dan pemikirannya kekal abadi melalui hasil karyanya,” ujar beliau.

Beliau berharap pameran ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa dan anak muda untuk berani berkarya, menzahirkan emosi, dan menggunakan seni sebagai jambatan menghubungkan jiwa.

Pameran yang berlangsung 27 Oktober 2025 hingga 27 Januari 2026 itu, bertujuan menonjolkan keunikan dan proses kreatif karya Mustaqim, termasuk karya yang memaparkan tema ‘kematian’ yang memberi renungan mendalam tentang erti kehidupan, seni dan ketenangan.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Shamsul Azri turut mengzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI yang baharu, serta mendoakan agar UPSI terus cemerlang di bawah pimpinan beliau.

Hadir sama dalam majlis bersejarah itu ialah keluarga Allahyarham, Rosde Yaakub dan Juariah Abd Rahman, serta beberapa pelajar yang selamat daripada insiden tragis berkenaan, antaranya Abdul Wafiy Kamarudin, Wan Nur Farah Syuhada Wan Ibrahim, Aimi Nasuha Che Azmi dan lain-lain.

Image from: KSN rasmi pameran seni visual memorial Mustaqim Rosde di UPSI
Tan Sri Shamsul Azri (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama keluarga Allahyarham, Rosde Yaakub (enam dari kiri) dan Juariah Abd Rahman (tujuh dari kiri) serta barisan pengurusan tertinggi UPSI di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Photo credit: Khairida UPSI

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pameran tersebut merupakan tanda penghargaan universiti terhadap sumbangan seni Allahyarham dan usaha memperingati perjalanan kreatifnya.

“Pameran ini merupakan pameran memorial sempena memperingati dan menghargai penghasilan karya seni Allahyarham Muhammad Mustaqim.

Beliau berkata UPSI sentiasa mengambil inisiatif dalam menjaga kebajikan pelajar dan penganjuran pameran ini adalah salah satu daripadanya.

“Karya cetakan semula turut dijual bagi mengumpul dana untuk keluarga, dan orang ramai dijemput datang untuk menghayati karya serta memiliki koleksi terhad yang penuh makna,” tambahnya.

Menurut Md Amin lagi, sebahagian karya Allahyarham menggunakan medium akrilik atas kertas, selain graphite dan media campuran.

“Karya seni Allahyarham banyak memfokuskan pemandangan alam semula jadi yang disulami kata-kata nasihat. Ia bukan sahaja indah dipandang, tetapi memberi renungan kepada kita semua,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.