
IPOH: Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainuddin mendahului senarai 218 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-70 Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Anis Rizana, 56, sebelum ini yang melakar sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam pada 25 September 2023 dikurniakan darjah Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman pula menerima Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Akauntan Negara, Nasran Omar dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Muhammad Akmal Ila Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Mohd. Azhar Mohd. Yusof merupakan antara 14 individu menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj turut dikurniakan DPMP yang membawa gelaran Datuk.
Dalam pada itu, lapan individu menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan antaranya Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus, Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Balveer Singh Mahindar Singh dan Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari.
Selain itu, 10 individu menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM); Darjah Ahli Paduka Mahkota Perak (PMP) membabitkan 28 penerima; Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) pula melibatkan 18 penerima antaranya Ketua Biro Bernama Perak Syamsiah Sahat; dan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (47 penerima).
49 penerima lagi dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), manakala Atlet Paralimpik Berbasikal Nur Suraiya Muhamad Zamri merupakan antara 31 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), selain 10 individu dianugerahkan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Terdahulu, pada sidang media, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan merangkumi dua sesi.
Beliau berkata, kedua-dua sesi istiadat pada 15 dan 21 November itu akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Mohd Zahidi berkata, sambutan pada tahun ini dimulakan dengan Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Muda Mahadi di sini pada waktu solat Jumaat.
“Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing,” katanya.
Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari yang akan diagihkan kepada 8,960 banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar serta Rumah Perantaraan Perak hari ini.- BERNAMA
The post KSU NRESS dahulu penerima darjah ulang tahun keputeraan Sultan Perak appeared first on Utusan Malaysia.






