KTI Landmark peroleh kontrak RM70 juta bina ibu pejabat baharu Kementerian Pelancongan Sabah

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KTI Landmark peroleh kontrak RM70 juta bina ibu pejabat baharu Kementerian Pelancongan Sabah

image is not available

15/10/2025 - 10:08

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt – Pemaju hartanah berpangkalan di Sabah, KTI Landmark Bhd memperoleh kontrak bernilai RM70 juta bagi membina bangunan ibu pejabat baharu untuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) di Kota Kinabalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KTI Landmark berkata, anak syarikat milik penuhnya, K.T.I Sdn Bhd telah menerima surat hasrat (LOI) daripada KePKAS bersama Sabah Parks, Sabah Tourism Board dan Sabah Cultural Board bagi melaksanakan projek pembinaan tersebut.

“Projek itu merangkumi kerja-kerja merobohkan bangunan sedia ada dan kemudiannya membina kompleks baharu yang akan dinamakan Wisma KEPKAS di tapak seluas 1.1 ekar di Jalan Wisma Budaya, Kota Kinabalu.

“Bangunan baharu itu dijangka menempatkan pejabat utama KePKAS serta agensi-agensi berkaitan pelancongan, taman negeri dan kebudayaan Sabah,” katanya dalam makluman itu.

Projek itu adalah antara usaha kerajaan negeri memperkukuh kecekapan pentadbiran serta meningkatkan kemudahan perkhidmatan awam untuk sektor pelancongan dan kebudayaan.

KTI Landmark berkata, tempoh pembinaan projek berkenaan dijangka mengambil masa 36 bulan dari tarikh pelaksanaan kontrak. Apabila siap kelak, bangunan itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di kawasan tersebut dan menjadi hab operasi utama bagi pengurusan pelancongan negeri.

Menurut syarikat itu, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih KTI Landmark serta anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya.

“Projek ini juga dijangka dapat meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan dalam jangka sederhana.

“Lembaga Pengarah KTI Landmark percaya pelaksanaan projek ini adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan syarikat, selain memperkukuh kedudukan kumpulan dalam segmen pembinaan dan pembangunan hartanah institusi kerajaan di Sabah,” katanya. - DagangNews.com

standard