Mesiniaga peroleh lanjutan kontrak RM17.86 juta daripada Jabatan Kastam bagi penyelenggaraan sistem MYGST

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2025 • 5:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mesiniaga peroleh lanjutan kontrak RM17.86 juta daripada Jabatan Kastam bagi penyelenggaraan sistem MYGST

image is not available

14/10/2025 - 17:29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Mesiniaga Berhad memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM17.86 juta daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaharuan lesen sistem MYGST.

Kumpulan itu berkata, tempoh lanjutan kontrak itu adalah untuk 12 bulan, bermula dari 16 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2026, tanpa sebarang klausa pembaharuan automatik.

Katanya, sambungan kontrak itu tidak akan menjejaskan modal saham serta pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya sehingga kontrak tersebut selesai," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu berkata, risiko utama berkaitan kontrak adalah bagi memastikan pematuhan terhadap tahap perkhidmatan dan tempoh masa yang ditetapkan.

Katanya, syarikat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko tersebut.

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana individu yang mempunyai hubungan dengan pengarah atau pemegang saham utama syarikat mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut.- DagangNews.com

featured standard