haziq29/12/2025 - 15:33 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Dis – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penamatan operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas–JB Sentral–Gemas berkuat kuasa 1 Januari 2026 selepas sembilan tahun beroperasi dan menjadi antara perkhidmatan utama di sektor selatan.
Dalam kenyataan hari ini, KTMB berkata enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang kini beroperasi iaitu No. 41, 42, 43, 44, 45 dan 46 akan ditamatkan selaras dengan usaha penyelarasan perancangan serta pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan.
Menurut KTMB, langkah itu diambil sejajar dengan kemajuan dan kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru selain memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada peningkatan pengalaman perjalanan penumpang.
Sehubungan itu, KTMB berkata keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan akan terus diperkukuh menerusi pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral, dengan lapan perkhidmatan sehari mulai 1 Januari 2026.
“Dengan lengkapnya perkhidmatan ETS ini, penumpang kini menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam, di samping menawarkan masa perjalanan yang lebih efisien serta pengalaman yang lebih selamat dan selesa,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut memaklumkan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa dan kekal sebagai pilihan utama perjalanan dari sektor selatan ke Pantai Timur.
Selain itu, perkhidmatan Shuttle Timuran juga disediakan sebagai alternatif perjalanan henti-henti bagi laluan Gemas–Tumpat.
Ketua Pegawai Teknikal yang menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penumpang dan pengguna setia Ekspres Selatan atas sokongan berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan itu beroperasi.
“Setiap perjalanan, kenangan dan nostalgia bersama Ekspres Selatan akan sentiasa terpahat dalam ingatan seluruh warga kerja KTMB. Syarikat mengalu-alukan orang ramai untuk terus memilih dan menyokong perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan diyakini,” katanya.
KTMB menasihatkan penumpang supaya membuat semakan jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi syarikat serta merancang perjalanan lebih awal melalui platform jualan tiket rasmi.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau melalui saluran media sosial rasmi KTMB. - DagangNews.com




