Perkhidmatan ETS kembali operasi guna satu landasan di laluan Sungkai–Slim River

23 Dec 2025 • 12:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perkhidmatan ETS kembali operasi guna satu landasan di laluan Sungkai–Slim River
image is not available
haziq23/12/2025 - 12:46 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Dis – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terjejas akibat kejadian pokok tumbang semalam kembali beroperasi, namun menggunakan satu landasan di laluan Sungkai–Slim River, bermula pukul 6.32 pagi tadi.

 

Bagaimanapun, operator rel berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, masih terdapat kesan kelewatan terhadap jadual perjalanan ETS susulan gangguan tersebut.

 

Menurut KTMB, kerja-kerja pembaikan sistem elektrifikasi di lokasi kejadian sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan sepenuhnya dengan selamat dan dalam tempoh terdekat.

 

“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak untuk mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perjalanan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” katanya.

 

KTMB berkata, bagi penumpang yang mengalami kelewatan tren sehingga atau melebihi empat jam dan telah membeli Pelan Takaful Premium, tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi Etiqa Claim Assist di 010-368 7829 atau melalui e-mel ke support@goinsure.com.my.

 

Terdahulu, KTMB menyediakan sebanyak 12 buah bas untuk pemindahan penumpang ke Stesen Slim River bagi perjalanan arah utara atau Stesen Sungkai bagi perjalanan arah selatan, sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing menggunakan perkhidmatan tren.

 

Menurut kenyataan itu lagi, makanan ringan dan air mineral turut disediakan kepada penumpang melibatkan 12 tren yang terjejas sebaik tiba di Slim River dan Sungkai.

 

KTMB berkata sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasminya, manakala pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

 

“KTMB sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard