KTMB tambah perkhidmatan tren selatan, Pantai Timur mulai 1 Januari 2026

LocalTravel
16 Dec 2025 • 11:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KTMB tambah perkhidmatan tren selatan, Pantai Timur mulai 1 Januari 2026
image is not available
haziq16/12/2025 - 11:45 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan pertambahan perkhidmatan tren bagi sektor selatan dan Pantai Timur bermula 1 Januari 2026, selaras usaha berterusan meningkatkan kapasiti, ketersambungan dan keselesaan perjalanan antara negeri.

 

KTMB dalam kenyataan hari ini berkata, bagi sektor selatan, sebanyak empat perkhidmatan ETS ditambah untuk laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral, menjadikan lapan perkhidmatan sehari di sektor berkenaan.

 

Selain itu, KTMB menurut kenyataan hari ini berkata, dua perkhidmatan sedia ada Padang Besar – Segamat – Padang Besar akan dilanjutkan sehingga ke JB Sentral, melengkapkan akses terus dari Malaysia Utara ke Johor Bahru dan menyokong objektif Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru.

 

Bagi Pantai Timur, KTMB berkata perkhidmatan Shuttle Timuran Gemas – Kuala Lipis turut ditambah dua perkhidmatan baharu, menjadikan enam perkhidmatan sehari bermula 1 Januari 2026, bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna yang ingin membuat perjalanan ke Johor Bahru melalui transit di Stesen Gemas.

 

KTMB berkata jualan tiket akan dibuka mulai 17 Disember 2025 (Rabu), jam 12.00 tengahari, bagi tempoh enam bulan sehingga Mei 2026, dan boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang www.ktmb.com.my atau mesin kios KTMB.

 

Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata, dengan lengkapnya jajaran perkhidmatan tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru, kita memperluas pilihan mobiliti awam yang lebih selesa, cekap dan selamat, sekali gus memberi alternatif berkualiti untuk perjalanan jarak jauh dan antara bandar.

 

image is not available

 

Menurut KTMB, inisiatif ini menyusul operasi rasmi ETS3 bagi laluan JB Sentral – KL Sentral yang bermula 12 Disember, menerima sambutan positif termasuk daripada pengguna Singapura, dan mengukuhkan ETS sebagai pilihan perjalanan rentas sempadan yang cekap dan berdaya saing.

 

KTMB menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel serta mengelakkan pembelian saat akhir. 

 

Maklumat lanjut di www.ktmb.com.my atau 03-9779 1200. - DagangNews.com

Terkini standard