
Prasarana Umum Kenaikan Harga Pas Rapid KL Mulai 1 Januari 2026
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelarasan harga bagi beberapa pas perjalanan Rapid KL yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2026.
Menerusi kenyataan Rapid KL di Facebook, ia selaras dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam serta usaha memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan dalam jangka panjang.
Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana, Ashok Panchalingam berkata pelarasan tersebut dibuat hasil kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian perkhidmatan serta peningkatan kos operasi semasa.
“Walaupun pelarasan harga dilaksanakan, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian melalui penjimatan yang konsisten, kemudahan perjalnan tanpa had serta pengalaman mobiliti yang terus dipertingkatkan,” kata beliau.
Tambah Ashok, langkah itu selari dengan transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL yang kini jauh lebih menyeluruh berbanding sedekad lalu.
Transformasi tersebut merangkumi pembukaan Laluan Kajang pada 2016 dan Laluan Putrajaya pada 2022, selain penambahan laluan bas, peluasan liputan kawasan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan.
Pelarasan harga ini merupakan yang pertama sejak 2009 dan mengambil kira peningkatan kos operasi serta penyelenggaraan dari tahun ke tahun.
Produk-produk Rapid
“Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan tawaran produk, Prasarana turut memperkenalkan Rapid Bulanan, iaitu pas 30 hari baharu yang menawarkan perjalanan tanpa had merangkumi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada harga RM150 untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia,” ujar kenyataan itu.
Bagi pas Rapid Kota yang khusus untuk warganegara Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM10 bagi Pas Satu Hari dan RM25 bagi Pas Tiga Hari, manakala Pas 2 Hari tidak lagi ditawarkan.
Rapid Kembara pula akan dijual pada harga baharu RM25 bagi Pas Satu Hari dan RM55 bagi Pas Tiga Hari mulai tarikh sama, dengan Pas Dua Hari turut tidak lagi ditawarkan.
Manakala bagi Rapid Keluarga yang khusus untuk warganegara Malaysia, ditetapkan pada harga baharu, RM30.
Selain itu, diskaun kad konsesi Rapid Pelajar hanya terpakai kepada pelajar warganegara Malaysia.
Bagi pengguna pelajar bukan warganegara dengan pas sedia ada, diskaun 50 peratus kekal sah sehingga pas tamat tempoh atau pada 31 Dis 2026, mengikut mana-mana yang lebih awal.
Permohonan baharu Rapid Pelajar mulai 1 Jan 2026 adalah terhad kepada pelajar warganegara Malaysia sahaja.
“Prasarana turut menegaskan My50 serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra kekal tanpa sebarang perubahan harga, selaras dengan komitmen berterusan untuk memastikan pengangkutan awam yang mampu milik dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan,” jelas kenyataan lagi.
Prasarana memaklumkan peningkatan permintaan terhadap pengangkutan awam, termasuk dalam kalangan ekspatriat dan pelawat jangka panjang, turut mendorong pengenalan Rapid Bulanan sebagai pilihan yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pengguna harian perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.
Orang ramai disarankan melayari laman web rasmi www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.
BACA: Hujan Lebat Diramal Badai 5 Negeri, 2 Wilayah Hingga Malam Ini

Sumber: Rapid KL
The post Prasarana Umum Kenaikan Harga Pas Rapid KL Mulai 1 Januari 2026 appeared first on Siakap Keli.



