'Kuala Lumpur ialah rumah kita' – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dicemari sampah, ingatkan rakyat tanggungjawab bersama

LocalEnvironment
20 Jul 2026 • 1:12 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kuala Lumpur ialah rumah kita' – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dicemari sampah, ingatkan rakyat tanggungjawab bersama

KEMERIAHAN sorakan penyokong yang memenuhi Dataran Merdeka selepas perlawanan akhir bola sepak malam tadi sepatutnya menjadi kenangan manis buat warga kota.

Namun, di sebalik suasana penuh kegembiraan itu, timbul rasa kecewa apabila kawasan bersejarah berkenaan ditinggalkan dengan sampah selepas orang ramai beransur pulang.

Berkongsi rasa terkilan menerusi hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meluahkan rasa kecewa melihat keadaan Dataran Merdeka yang menjadi lokasi rakyat berkumpul untuk meraikan detik bersejarah, tetapi akhirnya tercemar akibat sikap segelintir individu yang tidak menjaga kebersihan.

“Saya percaya rakyat Kuala Lumpur sayang akan bandar ini. Sebab itu saya kecewa apabila Dataran Merdeka, selepas menjadi tempat kita bersorak dan bergembira bersama, ditinggalkan dalam keadaan begini,” katanya.

Image from: 'Kuala Lumpur ialah rumah kita' – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dicemari sampah, ingatkan rakyat tanggungjawab bersama

Dalam perkongsian itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang segera turun padang menjalankan kerja pembersihan bagi mengembalikan kebersihan dan keselesaan kawasan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun DBKL mempunyai tanggungjawab menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga kota, menjaga kebersihan ruang awam bukan hanya tugas petugas pembersihan semata-mata.

“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.

“Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri,” ujarnya.

Image from: 'Kuala Lumpur ialah rumah kita' – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dicemari sampah, ingatkan rakyat tanggungjawab bersama

Imej dan maruah ibu kota

Jelas Hannah, hak untuk menerima perkhidmatan awam yang baik tidak bermakna semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas yang bekerja keras memastikan persekitaran sentiasa bersih.

Katanya, mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja ditinggalkan selepas sesuatu acara berlangsung.

Bagi Hannah, Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara atau tempat berkumpul masyarakat, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada sejarah negara serta mencerminkan imej dan maruah ibu kota.

“Malaysia MADANI bukan hanya tentang kerajaan yang menunaikan tanggungjawab. Ia juga tentang rakyat yang tahu menuntut hak tetapi tidak lupa melaksanakan perkara asas,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada nilai dan sikap masyarakat dalam menghormati serta menjaga kemudahan awam.

Image from: 'Kuala Lumpur ialah rumah kita' – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dicemari sampah, ingatkan rakyat tanggungjawab bersama

Mengakhiri perkongsian itu, Hannah sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan DBKL yang bertugas serta mengajak rakyat bersama-sama memelihara kebersihan Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved