
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM ) telah mengintegrasikan sistem pemantauan bandar melalui rangkaian 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik seluruh Kuala Lumpur.
Semua kamera telah dinaiktaraf dengan kemampuan rakaman pada resolusi tinggi serta dipadankan dengan sistem pengecaman wajah bagi mengesan dan menganalisis bagi membolehkan respons lebih pantas antara agensi dengan penyelarasan masa nyata.

Data pemantauan tidak disepadukan pada sistem sebelum ini menyebabkan kelewatan tindakan. Bagi mereka yang risau mengenai privasi, Datuk Bandar KL Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata data wajah akan disimpan selama 60 hari sahaja.
Ia akan meningkatkan keselamatan serta pengurusan bandar menerusi pengesanan kemalangan, situasi kecemasan, kesesakan jalan raya luar jangkaan dan risiko banjir.
Ciri-ciri utama sistem CCTV baharu ini ialah geo-fencing untuk kawasan berisiko tinggi, pengecaman wajah (mengikut peruntukan undang-undang), analisa tingkah laku untuk mengesan aktiviti mencurigakan dan di beberapa lokasi dilengkapi sistem siaran awam bersepadu untuk amaran bahaya penyeluk saku kepada pelancong berhampiran
Data PDRM menunjukkan pemantauan CCTV meningkatkan kadar pengesanan suspek dan penyelesaian kes sebanyak 50% Kerjasama DBKL–PDRM dilihat sebagai langkah ke arah bandar yang lebih selamat, cekap dan proaktif melindungi penduduknya.





