
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam lebih 10 keterangan individu berhubung kes kematian seorang pelajar kolej wanita yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, antara individu yang dipanggil memberi keterangan termasuk ahli keluarga mangsa, rakan serumah serta saksi kejadian.
“Sehingga kini, siasatan masih dijalankan dan pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan, malah motif utama kejadian masih belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan.
“Setakat ini, kami menganggap kes ini telah selesai dengan penahanan seorang suspek lelaki berusia 19 tahun. Tiada lagi tangkapan lain akan dibuat selepas ini,” katanya.
Untuk rekod, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.
Mohd Yusoff berkata, mangsa ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tambahnya, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan. - Getaran, 5 Mei 2026





