Kualiti audit semakin baik, kes perlukan penambahbaikan susut kepada 27% pada 2025 - AOB

Business & Finance
6 Aug 2026 • 11:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kualiti audit semakin baik, kes perlukan penambahbaikan susut kepada 27% pada 2025 - AOB Image from: Kualiti audit semakin baik, kes perlukan penambahbaikan susut kepada 27% pada 2025 - AOB hamden06/08/2026 - 11:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kualiti audit di Malaysia terus menunjukkan peningkatan apabila kadar penglibatan audit yang memerlukan penambahbaikan ketara menurun kepada 27% pada 2025, berbanding 46% pada 2024, menurut Laporan Pemeriksaan Tahunan 2025 oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

 

Bagaimanapun, laporan itu menegaskan masih terdapat beberapa kelemahan berulang yang perlu diberi perhatian segera, khususnya dalam aspek anggaran perakaunan, persampelan audit, pengujian kawalan dalaman dan pengiktirafan hasil.

 

Menurut AOB, sehingga 31 Disember 2025, lembaga itu mengawal selia 41 firma audit dan 397 juruaudit individu.

 

"Sepanjang tahun lalu, AOB telah memeriksa 14 firma audit, 40 juruaudit individu serta 41 penglibatan audit yang merangkumi pelbagai sektor industri dan bidang risiko," katanya dalam kenyataan akhbar.

 

Menurut AOB, laporan itu turut mendedahkan beberapa firma audit utama kini mula memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong analisis dokumen, penilaian pematuhan serta dokumentasi audit.

 

Bagaimanapun, AOB menegaskan penggunaan teknologi tersebut perlu disertai dengan rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko yang mantap bagi memastikan integriti proses audit terus terpelihara.

 

Selain itu, penilaian budaya yang dijalankan melibatkan 4,092 responden daripada sembilan firma audit utama mendapati amalan etika, pematuhan dan budaya cabaran profesional berada pada tahap yang baik.

 

Namun, kajian tersebut turut mengenal pasti cabaran berkaitan tenaga kerja termasuk tekanan beban kerja, kekurangan kakitangan, imbuhan dan usaha mengekalkan bakat sebagai antara isu yang masih perlu ditangani industri.

 

Sehubungan itu, AOB menggesa firma audit untuk terus memperkukuh tadbir urus, budaya organisasi, proses pemantauan dan mekanisme pemulihan, di samping meningkatkan pelaburan dalam pembangunan bakat serta teknologi.

 

Menurut AOB, audit berkualiti tinggi kekal menjadi asas penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur terhadap penyata kewangan yang diaudit serta memperkukuh integriti pasaran modal Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved