Kualiti audit bertambah baik, firma digesa perkukuh tadbir urus

Business & Finance
6 Aug 2026 • 2:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kualiti audit bertambah baik, firma digesa perkukuh tadbir urus

PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa firma audit terus memperkukuh tadbir urus, budaya organisasi serta pelaburan dalam bakat dan teknologi bagi meningkatkan kualiti audit serta mengekalkan keyakinan terhadap pasaran modal negara.

Menerusi Laporan Pemeriksaan Tahunan 2025 yang diterbitkan hari ini, AOB berkata, kemajuan memberangsangkan dicatatkan apabila kadar penglibatan audit yang memerlukan penambahbaikan ketara menurun kepada 27 peratus pada 2025 berbanding 46 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati masih terdapat kelemahan yang berulang dalam beberapa bidang utama termasuk anggaran perakaunan, persampelan audit, pengujian kawalan dalaman serta pengiktirafan hasil.

“Sehingga 31 Disember 2025, AOB mengawal selia 41 firma audit dan 397 juruaudit individu. Sepanjang tahun lalu, badan itu telah memeriksa 14 firma audit, 40 juruaudit individu serta 41 penglibatan audit yang merangkumi pelbagai industri dan bidang berisiko,” katanya dalam kenyataan.

Laporan itu turut mengetengahkan usaha berterusan firma audit dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan amalan pengurusan kualiti bagi meningkatkan standard audit di Malaysia.

Dalam pada itu, Penilaian Budaya Firma Audit yang dijalankan AOB melibatkan 4,092 responden daripada kesemua sembilan Firma Audit Utama mendapati amalan etika, budaya pematuhan, perundingan dan cabaran profesional berada pada tahap yang kukuh.

“Namun, penilaian tersebut turut mengenal pasti cabaran berkaitan tenaga kerja yang memerlukan perhatian segera, termasuk tekanan beban kerja, kekurangan kakitangan, imbuhan dan usaha mengekalkan bakat dalam industri audit,” katanya.

Menurut laporan itu, beberapa Firma Audit Utama juga telah mula memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong analisis dokumen, penilaian pematuhan serta dokumentasi audit.

Sehubungan itu, AOB menegaskan penggunaan teknologi perlu disokong oleh rangka kerja tadbir urus yang kukuh serta pengurusan risiko teknologi yang berkesan bagi memastikan inovasi tidak menjejaskan integriti proses audit.

AOB berkata, firma audit perlu terus memperkukuh proses tadbir urus, pemantauan dan pemulihan di samping meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan serta keupayaan digital.

Menurutnya, audit berkualiti tinggi kekal menjadi asas penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur terhadap penyata kewangan yang diaudit serta menyokong integriti dan daya saing pasaran modal Malaysia. – UTUSAN

The post Kualiti audit bertambah baik, firma digesa perkukuh tadbir urus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved