
PETALING JAYA – “Kami rasa tidak dibela.” Demikian luahan seorang bekas pegawai perubatan (MO) yang pernah berkhidmat selama 10 bulan di pedalaman Sabah sebelum mengambil keputusan melepaskan jawatan demi ibu tersayang.
Individu itu mendakwa, sepanjang bertugas di kawasan tersebut, dia dan rakan-rakannya berdepan pelbagai kekangan termasuk keadaan kuarters yang dianggap terlalu uzur dan kekurangan kemudahan asas.
Menggunakan profil @Molengg, wanita itu mendakwa, pada awalnya dia menyahut cabaran untuk berkhidmat di pedalaman Sabah dengan harapan dapat menimba pengalaman dan meneruskan kerjaya hingga bergelar pakar.
“Saya berkhidmat selama 10 bulan sebelum memilih ibu saya berbanding jawatan tetap. Akan tetapi saya dan rakan rasa tidak dibela di dalam sana,” katanya.
Antara perkara yang didakwa menjadi cabaran adalah keadaan kuarters yang dikhaskan untuk kakitangan kesihatan yang usang dan tidak sesuai untuk didiami.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menyewa rumah penduduk yang didakwa daif demi meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat.
Selain itu, beliau mendakwa klinik tersebut turut memerlukan petugas bergerak menggunakan bot bagi menjalankan perkhidmatan klinik bergerak atau ‘visiting clinic’ di bawah seliaannya.
“Bot KKM tidak boleh digunakan. Oleh demikian, kami berusaha menggunakan bot persendirian yang hanya membekalkan enjin kuasa kuda di bawah 200cc untuk membawa kami dan pesakit ke klinik atau hospital,” ujarnya.
Lebih membimbangkan, dia mendakwa bekalan air bersih menjadi antara masalah yang terpaksa dihadapi petugas di kawasan berkenaan. Oleh itu, mereka terpaksa menadah air hujan menggunakan botol untuk kegunaan harian.
“Musim kemarau sangat teruk sehingga kami terpaksa mengambil air dari kolam berkeladak dengan harapan tawas dapat membersihkan air untuk keperluan kami,” katanya.
Perkongsian itu meraih perhatian orang ramai, malah ada juga petugas yang pernah berkhidmat di kawasan pedalaman turut berkongsi pengalaman serupa.
“Kita serupa. Kuarters ‘on call’ waktu kerja dekat pedalaman Sabah. Bumbung nak jatuh, baldi merah jambu buat tadah air hujan bocor. Kita panggil rumah gelandangan,” kongsi seorang pengguna.
“Doktor dan cikgu. Pergilah periksa dia orang (mereka) punya kuarters. Dah tahap daif. Kambing ayam pun tak mau duduk,” kata @Anisadelrey.
“Belajar penat-penat macam ini dapat. Aku ijazah lagi selesa hidup,” kata @Chai78_lang. – KOSMO! ONLINE
The post Kuarters usang, air keruh…kami tidak dibela – Bekas MO appeared first on Kosmo Online.

