
REMBAU – “Kalau umur saya masih muda, saya mahu betulkan kesilapan itu.”
Itu luahan bekas anggota tentera, A.R. Azmi Amat Kasi, 65, yang mengakui kesal selepas meninggalkan perkhidmatan lebih empat dekad lalu.
Azmi berkata, keputusan meninggalkan perkhidmatan selepas hanya lapan tahun enam bulan berkhidmat itu menjadi perkara yang amat dikesalinya apabila melihat rakan-rakan seperjuangan menerima banyak manfaat selepas bersara.
“Saya ingkar arahan pegawai atasan. Ketika itu saya ikut kemarahan dan ego sendiri. Selepas keluar, saya menyesal apabila melihat kawan-kawan lain.
“Saya rasa jatuh moral sebagai seorang tentera kerana gagal meneruskan perkhidmatan. Kalau boleh diputarkan masa, saya mahu betulkan kesilapan itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Miku Pindah, di sini, kelmarin.
Azmi kini bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM320 sebulan, selain bantuan anak perempuannya yang bekerja sebagai pembantu tukang masak dengan gaji RM1,700 sebulan.
“Anak pun ada kehidupan sendiri. Kalau ada kerja sambilan seperti membersihkan kawasan atau membantu orang, saya buat untuk tambah pendapatan.
“Sekarang saya cepat penat dan tidak larat. Rumah yang kami duduki pula disewa RM500 sebulan,” katanya yang merupakan seorang duda.
Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kota, Mejar (Bersara) Isnin Zainal berkata, pihaknya sedang membantu A.R. Azmi mendapatkan perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Menurutnya, walaupun isu disiplin menyebabkan bekas anggota itu tidak menerima faedah seperti veteran lain, aspek kebajikan dan keperluan asasnya tetap perlu diberi perhatian.
“Memang kita kasihan melihatnya. Kita sedang melihat proses bantuan yang boleh diberikan dan cuba membantu memutihkan semula keadaan beliau setakat yang termampu.
“Bagi kita, apa juga keperluan utama beliau, terutama dari segi kebajikan dan kesihatan, perlu diutamakan,” katanya.
The post ‘Jika masih muda, saya mahu betulkan kesilapan’ appeared first on Kosmo Digital.






