Kuasa perundangan mesti ada had – Tengku Maimun

LocalPolitics
29 Aug 2026 • 7:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kuasa perundangan mesti ada had – Tengku Maimun

PETALING JAYA: Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai had bagi mengelakkan kuasa budi bicara digunakan sewenang-wenangnya sehingga membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, seseorang yang memegang jawatan yang diwujudkan oleh statut hanya berhak melaksanakan bidang kuasa berdasarkan garis panduan undang-undang.

Beliau menegaskan, kuasa budi bicara tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak untuk membuat apa sahaja keputusan tanpa tertakluk kepada batas undang-undang.

“Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai hadnya. Seseorang yang memegang apa-apa jawatan yang diwujudkan oleh statut hanya berhak melaksanakan bidang kuasa mengikut garis panduan undang-undang.

“Jika budi bicara digunakan untuk menjustifikasikan tindakan yang tidak munasabah atau bukan untuk tujuan yang sebenar, maka ia bukan lagi budi bicara, tetapi penyalahgunaan kuasa,” katanya pada Majlis Syarahan Perdana bertajuk Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Turut hadir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Tengku Maimun berkata, prinsip bahawa kuasa mempunyai batas undang-undang itu turut dapat dilihat melalui keputusan mahkamah yang menentukan had bidang kuasa sesuatu badan perundangan.

Antara contoh yang boleh di­lihat ialah keputusan Mah­kamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Kerajaan Negeri Kelantan, yang diputuskan pada 9 Februari 2024.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dicabar adalah tidak sah kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubalnya dalam perkara berkenaan. Keputusan itu dicapai dengan majoriti lapan daripada sembilan hakim.

Kes berkenaan pada asasnya menyentuh persoalan kompetensi atau bidang kuasa badan perundangan negeri, bukannya mencabar kedudukan Islam atau kewujudan Mahkamah Syariah.

Ia memperlihatkan bahawa dalam sistem Perlembagaan negara, kuasa menggubal undang-undang juga tertakluk kepada sempadan bidang kuasa yang ditetapkan.

“Harus saya mengambil ruang ini untuk menerangkan dan menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah satu bentuk tindakan oleh mahkamah untuk menjejaskan kesucian agama Islam atau melemahkan kedudukan mahkamah Syariah, sepertimana naratif palsu yang dijaja dan dimainkan secara agresif oleh pihak-pihak tertentu demi meraih sokongan murahan dan sentimen awam.

“Keputusan kes Nik Elin dibuat bersandarkan prinsip cabaran ketidaklayakan. Dalam kes tersebut, Dewan Undangan Negeri Kelantan didapati telah melampaui bidang kuasanya dengan menggubal undang-undang jenayah am, yang mana, di bawah Perlembagaan, ia secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Parlimen. Mahkamah hanya bertindak sebagai pengadil yang membetulkan sempadan kuasa ini,” katanya.

Prinsip sama, katanya, dapat dilihat dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn. Bhd. [1979] 1 MLJ 135 yang menegaskan bahawa setiap kuasa mempunyai batas undang-undang. – UTUSAN

The post Kuasa perundangan mesti ada had – Tengku Maimun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved