
PETALING JAYA: Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai had bagi mengelakkan kuasa budi bicara digunakan secara sewenang-wenangnya sehingga membawa kepada penyalahgunaan kuasa.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, seseorang yang memegang jawatan yang diwujudkan oleh statut hanya berhak melaksanakan bidang kuasa berdasarkan garis panduan undang-undang.
Beliau menegaskan, kuasa budi bicara tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak untuk membuat apa sahaja keputusan tanpa tertakluk kepada batas undang-undang.
“Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai hadnya. Seseorang yang memegang apa-apa jawatan yang diwujudkan oleh statut hanya berhak melaksanakan bidang kuasa mengikut garis panduan undang-undang.
“Jika budi bicara digunakan untuk menjustifikasikan tindakan yang tidak munasabah atau bukan untuk tujuan yang sebenar, maka ia bukan lagi budi bicara, tetapi penyalahgunaan kuasa,” katanya berucap pada Majlis Syarahan Perdana bertajuk Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Tengku Maimun berkata, prinsip bahawa kuasa mempunyai batas undang-undang itu turut dapat dilihat melalui keputusan mahkamah yang menentukan had bidang kuasa sesuatu badan perundangan.
Antara contoh yang boleh dilihat ialah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Kerajaan Negeri Kelantan, yang diputuskan pada 9 Februari 2024.
Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dicabar adalah tidak sah kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubalnya dalam perkara berkenaan. Keputusan itu dicapai dengan majoriti lapan daripada sembilan hakim.
Kes berkenaan pada asasnya menyentuh persoalan kompetensi atau bidang kuasa badan perundangan negeri, bukannya mencabar kedudukan Islam atau kewujudan Mahkamah Syariah.
Ia memperlihatkan bahawa dalam sistem Perlembagaan negara, kuasa menggubal undang-undang juga tertakluk kepada sempadan bidang kuasa yang ditetapkan.
“Harus saya mengambil ruang ini untuk menerangkan dan menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah satu bentuk tindakan oleh mahkamah untuk menjejaskan kesucian agama Islam atau melemahkan kedudukan mahkamah Syariah, sepertimana naratif palsu yang dijaja dan dimainkan secara agresif oleh pihak-pihak tertentu demi meraih sokongan murahan dan sentimen awam.
“Keputusan kes Nik Elin dibuat bersandarkan prinsip cabaran ketidaklayakan. Dalam kes tersebut, Dewan Undangan Negeri Kelantan didapati telah melampaui bidang kuasanya dengan menggubal undang-undang jenayah am, yang mana, di bawah Perlembagaan, ia secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Parlimen. Mahkamah hanya bertindak sebagai pengadil yang membetulkan sempadan kuasa ini,” katanya.
Prinsip sama, katanya, dapat dilihat dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn. Bhd. [1979] 1 MLJ 135 yang menegaskan bahawa setiap kuasa mempunyai batas undang-undang.
Tengku Maimun memetik prinsip dalam penghakiman berkenaan bahawa kuasa budi bicara tidak boleh bebas daripada sekatan undang-undang, manakala badan awam hanya mempunyai kuasa yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.
“Kuasa budi bicara tanpa batasan adalah satu percanggahan istilah. Walaupun teguran kehakiman pada ketika itu ditujukan kepada pejabat tanah, ia adalah terpakai sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang menyangka bahawa kuasa budi bicara ini bermaksud mereka boleh membuat apa sahaja keputusan sewenang-wenangnya.
“Tidak sama sekali. Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai hadnya,” katanya.
Menurut beliau, apabila sesuatu kuasa digunakan melebihi bidang yang diperuntukkan atau untuk tujuan yang tidak sepatutnya, tindakan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai pelaksanaan budi bicara yang sah, sebaliknya boleh menjadi penyalahgunaan kuasa.
Dalam syarahannya, beliau turut menekankan bahawa peranan Badan Kehakiman penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang terus dipelihara serta hak dan kepentingan rakyat dilindungi.
Beliau memberikan beberapa contoh keputusan mahkamah, termasuk kes Datuk Bandar Kuala Lumpur v Perbadanan Trelises & Ors & Other Appeals, yang menurutnya membolehkan orang awam mencabar keputusan pihak berkuasa selain memastikan ketelusan pentadbiran dan melindungi alam sekitar serta kepentingan komuniti.
Tambahnya, keputusan dalam kes berkaitan hak tanah adat Orang Asli, kewarganegaraan serta kes SRC International turut memperlihatkan bagaimana Badan Kehakiman memainkan peranan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa mengambil kira latar belakang atau kedudukan seseorang.
Beliau berkata, pengukuhan kedaulatan undang-undang bagaimanapun tidak boleh dipisahkan daripada integriti individu dan institusi yang melaksanakan kuasa. –UTUSAN
The post Setiap kuasa perundangan mesti mempunyai had – Tengku Maimun appeared first on Utusan Malaysia.





