Kubo risau Indonesia kubur harapan Jepun

21 Jan 2024 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Takefusa Kubo bimbang dengan ancaman Indonesia menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D, Rabu ini. Foto Agensi

BINTANG Jepun, Takefusa Kubo mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah kemampuan Indonesia menjelang aksi terakhir Kumpulan D.

Skuad Samurai Biru dan Garuda membuat perhitungan di Stadium Al Thumama, Rabu ini untuk muncul pasukan kedua mengiringi Iraq ke pusingan kalah mati Piala Asia.

Jepun memerlukan kemenangan atau keputusan seri untuk menamatkan saingan peringat kumpulan di tangga kedua, sekali gus lolos ke peringkat 16 terbaik.

Sementara Indonesia wajib menang ke atas Jepun andai mahu mengiringi Iraq.

"Kami tidak boleh memandang rendah Indonesia kerana mereka boleh mencipta kejutan sekiranya kami lalai.

"Apa pun, kekalahan kepada Iraq (1-2) menjadi pengajaran berguna buat kami," ujar bintang Real Sociedad itu.

Dalam dua perlawanan awal kumpulan, Jepun dilihat terkial-kial mencari rentak yang menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Vietnam 4-2 sebelum tewas kepada Iraq.

Aksi menentang Indonesia Rabu ini merupakan misi hidup mati skuad Samurai Biru yang muncul sebagai pasukan pilihan menjulang Piala Asia.