Kuching Bakal Ada Pelabuhan Laut Dan Lapangan Terbang Moden Berinspirasikan Abu Dhabi

8 May 2025 • 11:24 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Kuching Bakal Miliki Pelabuhan & Lapangan Terbang Bertaraf Global, Berinspirasikan Abu Dhabi

Kuching Bakal Ada Pelabuhan Laut Dan Lapangan Terbang Moden Berinspirasikan Abu Dhabi. Sarawak kini merancang untuk membangunkan pelabuhan laut dan lapangan terbang baharu di Kuching yang berkonsepkan teknologi moden dan mesra alam, berpandukan model pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang di Abu Dhabi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Abu Dhabi semalam, bersama delegasi negeri.

image is not available
Kuching Bakal Ada Pelabuhan Laut Dan Lapangan Terbang Moden Berinspirasikan Abu Dhabi. Gambar sekadar ilustrasi.

Abu Dhabi Jadi Rujukan Pembangunan Infrastruktur Sarawak

Menurut laporan yang dikongsi menerusi laman rasmi Facebook “Sarawakku”, Premier Sarawak berkata pelabuhan Abu Dhabi yang dibina di atas tanah tambakan laut telah berkembang pesat daripada sebuah pelabuhan kecil kepada yang terbesar di Timur Tengah.

Beliau turut kagum dengan pengurusan operasi pelabuhan tersebut yang sangat efisien dan berasaskan pelbagai inovasi terkini. Pendekatan inilah yang dilihat mampu mentransformasikan infrastruktur maritim Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Kerjasama Pelabuhan Abu Dhabi & Bintulu Dimeterai

Satu langkah besar yang diumumkan ialah termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Abu Dhabi dan Pelabuhan Bintulu. Kerjasama ini bertujuan untuk membesarkan Pelabuhan Industri Samalaju serta menaik taraf operasi pelabuhan tersebut agar lebih kompetitif.

Abang Johari turut menyatakan bahawa pembangunan pelabuhan baharu Kuching kelak akan melibatkan penyertaan sektor awam dan swasta, seperti yang diamalkan di Abu Dhabi.

Lapangan Terbang Kuching Baharu: Moden, Hijau & Pintar

Dalam masa sama, Premier Sarawak turut mendedahkan perancangan pembinaan lapangan terbang baharu Kuching yang dijangka mempunyai reka bentuk unik dengan seni bina moden dan mesra alam.

Beliau menjelaskan bahawa keseluruhan operasi di lapangan terbang ini – daripada daftar masuk hinggalah ke pemeriksaan imigresen dan menaiki pesawat – akan berlangsung secara lancar dan efisien.

“Siapa tahu? Mungkin nanti lapangan terbang kita akan mempunyai teknologi yang lebih canggih daripada Abu Dhabi,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Sebagai permulaan, lapangan terbang tersebut akan dibina untuk menampung 15 juta penumpang setahun, berbanding 45 juta di Abu Dhabi.

Delegasi Sarawak Jelajah Eropah & Timur Tengah

Delegasi Sarawak tiba di Abu Dhabi selepas menyelesaikan lawatan kerja ke United Kingdom dan Perancis, termasuk Toulouse. Turut serta dalam delegasi tersebut ialah:

  • Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan)
  • Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin
  • Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (juga Pengerusi Pelabuhan Bintulu)

Dengan langkah strategik ini, Sarawak dilihat semakin hampir untuk menjadi hab logistik dan pengangkutan serantau. Penduduk tempatan boleh menantikan infrastruktur bertaraf antarabangsa yang bakal mengubah landskap pengangkutan dan perdagangan negeri.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai lapangan terbang Sarawak: