

Brabus bakal membina sebuah pulau eksklusif khas untuk golongan ‘ultra’ kaya dengan pembinaan Pulau Brabus (Brabus Island) yang kini sedang dibangunkan di kawasan tepi laut, Al Seef, Abu Dhabi, hasil kerjasama Brabus dengan pemaju tempatan, Reportage Properties.
Pulau Peribadi Berkeluasan 0.4 Batu Persegi
Pulau ini bakal menempatkan empat bangunan pencakar langit dengan 350 unit apartmen mewah, serta 100 vila persendirian yang direka khas, menjadikan Brabus Island bukan sekadar kediaman, tetapi simbol status.


Reka bentuk dalaman kediaman diberikan suntikan DNA jenama Brabus. Pembeli boleh memilih tema seperti hitam (Black and Bold), putih (White Bliss) dan kelabu (Grey Haven). Melalui ‘suntikan’ ini, setiap rumah dibina untuk memberikan pengalaman seperti ‘memandu’ kenderaan Brabus, tetapi dalam bentuk tempat tinggal.
Harga Bermula RM3.8 Juta, Siap Sepenuhnya Pada 2028

Pembinaan vila tepi pantai dijadualkan bermula pada musim panas ini, dan dijangka siap menjelang awal tahun 2028. Harga jualan setiap unit bukan nampaknya hanyalah untuk pembeli yang ‘luar biasa’ kaya di mana, apartmen dijual pada harga bermula daripada sekitar AS$790,400 (~RM3.8 juta), manakala vila tepi pantai boleh mencecah AS$7.34 juta (~RM35 juta).


Ketua Pegawai Eksekutif Brabus, Constantin Buschmann, menyifatkan Brabus Island sebagai satu pencapaian luar biasa bagi jenama tersebut.
“Selama hampir 50 tahun, Brabus membina produk yang menggerakkan manusia, secara emosi, fizikal dengan penuh gaya. Tetapi kali ini, kami bukan sekadar mereka bentuk sebuah kenderaan, tetapi mencipta gaya hidup itu sendiri.”
Abu Dhabi dipilih sebagai lokasi strategik kerana sinonim dengan kemewahan, memiliki kestabilan pelaburan dan pasaran hartanah elit global.

