
BERMULA dengan siri premium Projek : High Council pada 2023 dan kemudiaan penceritaan berkembang menerusi filem Kahar : Kapla High Council pada 2024, kini dunia High Council diperluaskan lagi dengan kehadiran Kudrat 1968.
Kudrat 1968 adalah sebuah prekuel yang akan membawa penonton kembali ke titik permulaan tercetusnya sistem hierarki rahsia yang diwujudkan oleh pelajar sendiri yang menjadi nadi simbolik High Council.
Buat pertama kalinya, Astro Shaw memperkenalkan pendekatan baharu dengan satu cerita dua format dengan sebelum filem Kudrat 1968 ditayangkan di pawagam pada tahun ini, peminat dapat menyaksikan empat episod siri premium Astro Originals.
Penerbit Eksekutif Kudrat 1968 merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata siri premium Astro Originals sebanyak empat episod itu adalah membina dunia Kudrat 1968 dengan lebih mendalam sekali gus memberikan penonton pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap watak dan naratif sebelum mereka menyaksikan filem ini di pawagam.
“Kami melihat pendekatan ini sebagai satu evolusi dalam cara sesebuah cerita dibangunkan, dipersembahkan dan dinikmati oleh penonton,” katanya ketika memperkenalkan barisan pelakon utama naskhah terbabit.
Terdahulu, nama Mierul Aiman diumumkan selaku pelakon utama menerusi akaun media sosial Astro Shaw. Lima lagi tonggak utama yang diperkenalkan termasuk Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Mengenai pemilihan pelakon, Raja Jastina berkata setiap daripada mereka dipilih menerusi sesi uji bakat.
“Kami percaya setiap pelakon ini akan membawa karakter dan tenaga tersendiri untuk menghidupkan generasi pertama dalam dunia Kudrat 1968,” katanya.
Turut diperkenalkan ialah barisan kreatif di sebalik projek ini antaranya showrunner Zulaikha Zakaria yang sebelum ini menerajui Projek: Exit dan Projek: High Council dan Khairi Asyraff. Naskhah ini turut menandakan kemunculan pertama Khairi sebagai pengarah bersama di bawah produksi Pasal Productions.
Raja Jastina percaya kedua-dua Zulaikha dan Khairi mampu meneruskan legasi penceritaan High Council dengan perspektif baharu.
“Walaupun Kudrat 1968 merupakan debut pengarahan filem pertama buat Zulaikha, beliau bukanlah wajah baharu dalam dunia ini.
“Beliau telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan High Council sejak awal sebagai penulis dan pengarah bersama.
“Digandingkan bersama Khairi Asyraff, seorang pengarah muda dengan pendekatan segar, kami yakin mereka mampu membawa dimensi baharu kepada francais ini,” katanya.
Kudrat 1968 diterbitkan oleh Astro Shaw di samping rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment.
Kudrat 1968 mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki institusi yang dibina atas nama bapanya. Namun di sebalik legasi yang diwarisi, dia perlu memilih sama ada untuk melindungi sistem yang membentuknya atau menjadi individu yang akan menghancurkannya.


