KUFC ikat pemain Uzbekistan perkuat jentera tengah

5 Jul 2023 • 3:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Kelantan United FC (KUFC) memperkuatkan jentera tengah pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan membawa masuk pemain import dari Uzbekistan Sirojiddin Rakhmatullaev.

Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata pemain itu telah menandatangani kontrak hari ini untuk bersama pasukan sehingga hujung musim.

“Pemain berusia 30 tahun sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Uzbekistan, Mash’al Mubarek dan turut berpengalaman beraksi di Liga Bangladesh bersama Saif SC pada musim 2020/2021.

“KUFC adalah kelab ketiga Rakhmatullaev setelah memulakan karier awalnya bersama skuad B-21 Mash’al Mubarek pada 2011,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd berkata Rakhmatullaev yang bermain di posisi tengah pertahanan menjadi taruhan terbaharu skuad Sang Kijang Hijau untuk kembali mencabar dalam saingan Liga Super selain melahirkan keyakinan kehadiran pemain itu mampu memberikan impak kepada skuad kendalian Ailton Dos Santos Silva.

Rakhmatullaev merupakan pemain import kempat yang diikat KUFC pada jendela perpindahan kedua pemain.

Tiga pemain import lain yang menyertai KUFC adalah dua pemain Korea Selatan, Kim Min Kyu, 22, yang bermain di bahagian sayap, pemain pertahanan Kim Deok, 21, dan bekas penyerang import Kelantan FC, Ismaheel Akinade.

KUFC ketika ini berada di kedudukan kedua tercorot daripada 14 pasukan Liga Super dengan memperoleh enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan 11 kalah selepas mengharungi 15 perlawanan.

Wan Mohd turut menzahirkan harapan untuk KUFC keluar dari kelompok terbawah liga dan seterusnya menamatkan musim ini pada kedudukan yang lebih baik. -Bernama