Kugiran Masdo, The Changcuters Berkongsi Pentas Di Konsert Disember Ini!

Music
18 Nov 2022 • 3:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Masdo - Gambar ihsan KME

Berita baik buat penggemar dua band terkenal Masdo dan The Changcuters apabila mereka bakal berkongsi pentas yang sama untuk sebuah konsert gilang-gemilang pada Disember ini. 

Kolaborasi persembahan dua kumpulan yang berkongsi peminat dari dua negara ini dijadual berlangsung pada 29 Disember 2022, bertempat di Zepp KL. Dianjurkan KME, konsert ini juga mendapat kerjasama dari Homebois, HWlab dan Flavaco. 

image is not available

“Sebagai penganjur, KME mahu membawakan sebuah hiburan yang bersifat nusantara dan sangat berbesar hati kerana dapat menyatukan Masdo bersama The Changcuters.

“Ini melambangkan muzik tempatan atau dari negara jiran tidak ada beza jika kita saling menghargai, menyokong dan menghormati.

“Dengan dua genre muzik yang ‘gila gilaan’, disokong peminat yang sangat menjadi tulang belakang kelangsungan perjuangan kami, KME percaya Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp KL kelak akan mendapat sambutan.

“Apalagi pemilihan tanggal 29 Disember sebagai sebuah signifikan penutup tahun 2022 yang sudah melihat industri seni kembali semarak dan kami berharap kehadiran 2023 akan memberi lebih banyak rezeki serta kesempatan baik untuk seluruh industri terutama muzik,” ujar wakil penganjur KME iaitu saudara Azanol atau lebih dikenali sebagai Putu Ceri. 

Sementara itu, The Changcuters juga melahirkan keterujaan untuk kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat mereka di sini terutamanya buat Changcut Rangers. 

image is not available
The Changcuters

“Tentu sekali lamaran yang diberi tidak akan disia-siakan. Kugiran Masdo adalah sebuah ‘maniac’ di Indonesia dan The Changcuters sangat berbesar hati untuk berkongsi panggung dengan mereka.

“Kami akan pastikan malam Kugiran Masdo X The Changcuters adalah momen tak terlupakan buat semua penggemar kami,” ujar The Changcuters.

Kugiran Masdo yang cukup terkenal dengan hit 'Bunga' dan 'Dinda' telah berada dalam persada seni tempatan sejak 2015. 

“Untaian karya mereka yang bersadurkan irama 60-an kemudian menjadi kegilaan di Indonesia dan membuat Kugiran Masdo sebagai  pemuzik ‘wajib’ dalam kebanyakan festival yang diadakan di serata republik tersebut.

The Changcuters  pula cukup terkenal dengan muzik garage rock pula sudah menakluk belantika muzik Indonesia seawal tahun 2006 menerusi lagu seperti 'Rachun Dunia' dan 'I Love You Bibeh'.

image is not available

Tiket bermula harga RM159 (Minami), RM179 (Berchanda), RM199 (Gila Gilaan), RM249 (Amore) dan RM799 (VIP Box) sudah mula dijual melalui https://tapau.asia/ticket. - Getaran, 18 November 2022