Kulim Hi-Tech Park catat pelaburan RM181.5 bilion, perluasan berjalan lancar - Mohd Sahil

22/05/2025 - 09:48
Datuk Mohd Sahil Zabidi Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 22 Mei — Perluasan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park, KHTP) terus berjalan lancar meskipun berdepan ketidaktentuan global, termasuk pengumuman tarif balas oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, KHTP telah mencatatkan pelaburan keseluruhan RM181.5 bilion dan kini menempatkan 56 pengeluar termasuk lebih 20 syarikat multinasional dari 12 negara, disokong oleh 90 syarikat sokongan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC), Datuk Mohd Sahil Zabidi yang merupakan pemaju KHTP, mengesahkan pembangunan Zon Perindustrian Fasa 5 di taman teknologi sains dan teknologi bersepadu pertama serta terbesar di Malaysia itu sedang berjalan mengikut perancangan.
"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan lokasi dan pinjaman Persekutuan yang menjadi pemangkin pembangunan ini.
"Pembangunan itu sejajar dengan Pelan Induk Semikonduktor Negara (NSS) yang diumumkan Mei 2024 untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global," katanya dalam satu kenyataan.
NSS menyasarkan peningkatan nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pertambahan tenaga kerja berkemahiran serta peningkatan gaji median dalam sektor berkaitan, selaras dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030.
KHTP kini menempatkan empat pengeluar fabrikasi wafer seperti Infineon, Osram, SilTerra, dan Fuji Electric, jumlah tertinggi dalam kalangan taman perindustrian di Malaysia.
Pelaburan RM8.5 bilion oleh syarikat Austria, AT&S bagi pengeluaran litar bersepadu (IC) berteknologi tinggi turut memperkukuh ekosistem teknologi tinggi di KHTP.

"Kami amat menghargai komitmen AT&S dalam menyumbang kepada NSS dan membangunkan industri sokongan yang kukuh.
"KTPC kekal komited membina infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan vendor serta pembekal tempatan, selaras matlamat nasional," tambah Sahil.
Pembangunan 11 lot industri di bawah Fasa 4A dijangka siap menjelang Oktober 2025, dengan satu kilang sedang dibina dan rundingan bersama dua pelabur lain hampir dimuktamadkan hujung bulan ini.
Beliau menjelaskan, KTPC telah memeterai perjanjian dengan pemilik tanah bagi memperoleh 190 hektar ladang kelapa sawit bersebelahan untuk pembangunan Fasa 5 yang dijadual bermula tahun depan.
"Jika semuanya berjalan lancar, pemasaran lot Fasa 5 akan bermula menjelang 2027. Ini penting bagi mengekalkan momentum KHTP untuk tujuh hingga 10 tahun akan datang," katanya.
Ketika ini, kira-kira 45,000 pekerja berkhidmat di KHTP, dengan 95% daripadanya terdiri daripada tenaga kerja tempatan berkemahiran.
KTPC menerima Anugerah Majikan Terbaik (Kategori Syarikat Besar/GLC) sempena sambutan Hari Pekerja Kebangsaan baru-baru ini, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada syarikat dan anak-anak syarikatnya untuk terus menambah baik perkhidmatan kepada pelabur dan pekerja di KHTP. - DagangNews.com
standard

