MR DIY catat untung bersih RM174 juta pada 1QFY25, hasil meningkat kepada RM1.26 bilion 

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 9:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MR DIY catat untung bersih RM174 juta pada 1QFY25, hasil meningkat kepada RM1.26 bilion

image is not available

06/05/2025 - 09:47

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei - Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd meningkat kepada RM174.15 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) berbanding RM144.88 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Perolehan kumpulan pula naik sebanyak 10% kepada RM1.26 bilion daripada RM1.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu disokong oleh peluasan berterusan kumpulan merangkumi penambahan 173 kedai baharu.

Jumlah keseluruhan kedai bertambah daripada 1,298 kepada 1,471 sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 13.3%.

Langkah itu membawa kepada peningkatan jumlah pelanggan dengan jumlah urus niaga meningkat sebanyak 9.1% kepada 48.2 juta serta peningkatan sebanyak 0.9% tahun ke tahun.

Peruncit kelengkapan rumah berkata kepada Bursa Malaysia, musim perayaan Hari Raya lebih awal tahun ini yang jatuh pada Mac berbanding April. Ia turut menyumbang kepada jualan bermusim yang lebih kukuh.

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.4 sen sesaham biasa yang berjumlah kira-kira RM132.6 juta bagi tahun kewangan yang akan dibayar pada 8 Julai 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif, Adrian Ong berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka 190 kedai baharu di seluruh jenama teras dan sub jenamanya pada tahun ini.

"Ini akan merangkumi konsep runcit yang inovatif dan tawaran produk yang diperluas, mengukuhkan kepimpinan pasaran kumpulan, dan kedudukannya sebagai peruncit pilihan nilai untuk semua rakyat Malaysia.

"Walaupun pasaran berdepan ketidaktentuan akibat ketegangan geopolitik dan pertikaian tarif, kedudukan kewangan kami kekal kukuh. Buat masa ini, kami tidak menjangka tarif semasa dari Amerika Syarikat akan memberi kesan kepada kami.

"Kami akan kekal tangkas dan responsif terhadap perubahan keadaan pasaran dan keperluan pelanggan, sambil menekankan nilai," katanya.- DagangNews.com

standard