
Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima dan ramai yang menabung selama beberapa tahun bagi menampung perbelanjaan di tanah suci itu.
Seorang nenek dibelenggu rasa hiba apabila wang yang dikumpulnya selama 10 tahun hancur dimakan anai-anai.
Menurut mStar, nenek itu difahamkan menyimpan wang sebanyak RM 30,000 itu di dalam sebuah kotak untuk sekian lama namun kotak itu ranap dimakan serangga perosak itu.
Difahamkan, cerita sedih itu dikongsikan oleh salah seorang cucunya di Facebook dan perkara itu sudah semestinya mendapat perhatian netizen.
“Hari ini duit yang di simpan oleh nenek saya di kampung untuk Tunaikan Haji tahun depan sebanyak RM30k habis di makan anai-anai.
Separuh saya dah serahkan kepada Bank Negara Malaysia. Kalau masih ada rezeki. Separuh lagi tak dapat di selamatkan.
Bukan rezeki nenek nak ke Mekah, insyaAllah lain kali ada lagi rezeki ni. Pengajaran jangan kita simpan di rumah duit ni banyak-banyak,” tulisnya.
Cucunya yang dikenali sebagai Muhammad Khairul Azhar Mat Nawi berkata neneknya yang berusia 70-an itu menyimpan wang itu di rumahnya yang terletak di Rantau Panjang, Kelantan.
Muhammad Khairul berkata mereka sekeluarga amat terkejut dengan wang simpanan neneknya yang sebanyak itu.
“Sebanyak RM 7,000 daripadanya adalah duit Ringgit Malaysia. Sudah dibawa ke bank dan Bank Negara cuma terima duit yang 50 peratus rosak sahaja tapi duit yang kena makan anai-anak memang dah rosak.
Kami juga dah bawa duit matawang Baht Thailand ke bank di Thailand. Tengok macam mana, kalau ada rezeki, adalah sikit untuk nenek,” katanya.
Pun begitu, Muhammad Khairul memberitahu walaupun simpanan neneknya itu bertujuan untuk menunaikan ibadah haji, namun mereka sekeluarga sebenarnya telah merancang untuk membawa warga emas itu ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

