Kumpulan Ajaran Sesat Di Indonesia Tawar Tiket Ke ‘Syurga’, Tak Perlu Solat & Puasa

LocalPolitics
14 Apr 2025 • 3:48 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Tidak dinafikan, sehingga hari ini masih lagi ada segelintir pihak mengamalkan ajaran sesat yang jauh terpesong daripada agama Islam.

Apa yang menakutkan, golongan tersebut menyebarkan kefahaman tersebut kepada orang ramai khususnya yang kurang fahaman agama sehingga ada yang percaya dan mengikutinya.

Perkara membimbangkan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di negara-negara lain juga termasuklah Indonesia.

Ajaran sesat di Indonesia jual tiket masuk syurga

Seperti baru-baru ini, tular laporan mengenai penahanan empat lelaki dipercayai pemimpin sebuah kumpulan ajaran sesat di Kabupaten Seram Bagian Barat, Maluku kerana menawarkan ‘tiket ke syurga’ pada harga mencecah 15 juta rupiah (RM3,953).

Menurut Kosmo yang memetik Tribunnews, Setiausaha Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kabupaten Seram Bagian Barat, Syuaib Pattimura berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kesemua suspek.

“Pelanggan yang membeli tiket diberi jaminan mereka akan masuk syurga.

“Harga tiket adalah 7 juta rupiah (RM1,845), manakala pelanggan yang ingin membawa ibu bapanya ke syurga perlu membeli tiket berharga 15 juta rupiah (RM3,593).

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Agama Indonesia untuk menangani isu ini,” kata Syuaib.

MUI kemudiannya segera menghentikan aktiviti ajaran sesat terbabit setelah mengesahkan bahawa ianya benar-benar terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Penduduk mengamuk, ada kumpulan ajaran sesat di tempat mereka

Difahamkan, pertemuan empat individu terbabit bersama MUI berlaku selepas penduduk di Dusun Limboro mengamuk dan bertindak menghalau lelaki-lelaki terbabit daripada kawasan itu.

Penduduk di sana bimbang kerana ajaran yang disampaikan oleh empat lelaki itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Ketua Polis Huamual, Ipda Salim Balami berkata, pihaknya segera bertindak selepas menerima aduan daripada warga setempat di situ.

“Penduduk yang menolak ajaran sesat tersebut meminta penjual keluar dari kawasan mereka. Mereka dibawa bertemu dengan MUI untuk tindakan lanjut,” tambah Salim.

Menurut Salim, hasil siasatan mendapati keempat-empat individu itu berasal dari Kabupaten Maluku Tengah dan mempunyai 17 orang pengikut di wilayah terbabit.

Ajaran sesat konon solat lima waktu, puasa dan bayar zakat tak perlu dilakukan

Memetik Kompas.com pula, kumpulan ajaran sesat terbabit yang dipimpin oleh La Bandunga itu dikatakan menyampaikan ajaran bahawa ibadah seperti solat fardu lima waktu, puasa dan membayar zakat tidak perlu dilakukan.

Kumpulan itu juga memiliki kitab sendiri iaitu kitab ‘Perisai Diri’ di mana terdapat perubahan pada surah al-Fatihah dan beberapa surah lain dalam al-Quran serta mengubahsuai kalimah dua syahadah.

Ketika Syuaib bertanya mengenai dalil ajaran itu, pemimpin kumpulan ajaran sesat berkenaan tidak dapat memberikan jawaban yang meyakinkan.

Source: