
Kota Kinabalu: Lima warga Filipina tanpa dokumen (PTI) masing-masing dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki tatu dan pakaian yang dikaitkan dengan sebuah pertubuhan haram.
Malvin Keymar, Satall Tamsi Salim, Md Alih Abdul Bakar, Dian Timar dan Nasir Badah @ Alex, berusia antara 22 hingga 34 tahun, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pertubuhan 1966.
Malvin, Satall, Md Alih dan Dian ditahan pada 28 Ogos lalu jam 6.30 petang di sebuah rumah di Kampung Ketiau, Putatan kerana memiliki tatu berwarna hijau di jari tengah kanan masing-masing yang melambangkan keanggotaan dalam kumpulan haram “Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Muslim Rakyat Bersatu (MRB)”.
Nasir pula didapati berada di lokasi sama dengan tiga helai baju-T putih tertera tulisan dan logo MRB.
Mengikut undang-undang, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM3,000, jika sabit kesalahan.
Kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan bekerja sebagai buruh dan menanggung keluarga.
Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Yusdi Basri yang memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran serta merujuk kesemua tertuduh kepada Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dan semua tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

