Kumpulan Jetson dikemuka writ saman batal notis tuntutan singkir lembaga pengarah

LocalBusiness & Finance
7 May 2025 • 11:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kumpulan Jetson dikemuka writ saman batal notis tuntutan singkir lembaga pengarah

image is not available

07/05/2025 - 11:32

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Kumpulan Jetson Bhd menerima writ saman daripada tiga pemegang saham minoriti yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan notis tuntutan bertarikh 23 April 2025 dan menghentikan sebarang tindakan korporat yang berasaskan notis tersebut.

Writ saman itu diserahkan pada 6 Mei 2025 oleh Ting Hoong Yi (1.35%), Ma Xiao Xiang (1.87%) dan Tang Yan (1.64%) yang secara kolektif memegang 4.86% kepentingan dalam syarikat tersebut.

Ketiga-tiga mereka diwakili oleh firma guaman Tetuan Dennis Nik & Wong.

Syarikat pengeluar produk industri anti getaran itu di Bursa Malaysia berkata, plaintif-plaintif tersebut memohon satu pengisytiharan, notis tuntutan tersebut tidak dikeluarkan secara bona fide (niat baik), dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Selain itu, mereka juga memohon perintah untuk menghalang Jetson daripada melaksanakan notis tuntutan tersebut sementara menunggu penyelesaian penuh tuntutan undang-undang itu.

Kos guaman dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah turut dipohon.

Kumpulan Jetson menyatakan, tindakan undang-undang itu dijangka tidak akan memberi kesan material terhadap kewangan atau operasi kumpulan.

Notis bertarikh 23 April itu merupakan cubaan ketiga oleh pemegang saham minoriti untuk menyingkirkan lembaga pengarah Kumpulan Jetson sejak Disember 2023.

Cubaan terkini ini melibatkan lima pemegang saham — Yudishthiran Doraisamy (4.05%), Dhayalini PG Doraisamy (4.01%), PG Doraisamy P Gopal (0.79%), Wong Hong Yuk (1.21%) dan Teoh Cheng Fang (0.62%) — yang secara kolektif mendakwa memegang 10.68% saham syarikat, mencukupi untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Dalam permintaan mereka, para pemegang saham tersebut berhasrat untuk menyingkirkan semua pengarah sedia ada — pengerusi Tunku Nooruddin Tunku Shahabuddin, pengarah eksekutif Edward Ng Kah Jiun, serta pengarah bukan eksekutif Louise Paul Joseph Paul, Hong Cheong Liang dan Goh Rui Yee.

Mereka mencadangkan untuk melantik Hong Yuk, Cheng Fang, Ilham Abadi Idris, Looi Mun Fei dan Ranjit Singh Karter Singh sebagai pengarah baharu.

Cubaan pertama untuk menyingkirkan lembaga pengarah Kumpulan Jetson berlaku pada Disember 2023, namun ditolak kerana tidak mencapai jumlah pemilikan saham yang mencukupi untuk diadakan EGM.

Pada Februari 2024, cubaan kedua dilancarkan oleh kumpulan berbeza yang terdiri daripada 11 pemegang saham. Namun begitu, resolusi yang dicadangkan untuk menyingkirkan lembaga ditolak dalam EGM yang diadakan pada Mac 2024.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024, Kumpulan Jetson melaporkan kerugian bersih sebanyak RM4.55 juta dengan hasil pendapatan sebanyak RM154.73 juta. Kumpulan itu telah menukar tarikh akhir tahun kewangan daripada 31 Disember kepada 31 Mac. - DagangNews.com

standard