
RAWANG – Kumpulan Low Yatt mengekalkan tradisi membantu mereka yang memerlukan apabila menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sempena Kejohanan Golf Tan Sri Low Yow Chuan 2026 di Tasik Puteri di sini baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Low Gee Teong sebagai menyambung kebaikan mendiang bapanya, Tan Sri Low Yow Chuan iaitu tokoh yang menyumbang kepada sektor hartanah, perhotelan dan pelancongan negara sepanjang lebih lima dekad.
Gee Teong berkata, kejohanan untuk tahun kedua itu mencerminkan hala tuju Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC) dan BTP Properties.
“Kami bukan sekadar menganjurkan kejohanan golf tetapi secara bersungguh-sungguh meletakkan TPGCC di peta dunia.
“Kami mengubah kawasan ini menjadi hab sukan yang berkembang maju dan menunjukkan bagaimana kemudahan bertaraf dunia kami menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komuniti, gaya hidup keluarga dan peluang perniagaan serantau,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Besar TPGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, acara itu menghormati seorang perintis industri.
“Kejayaan memenangi Kelab Golf Awam Terbaik dan Destinasi Pelancongan Golf Terbaik dua tahun berturut-turut membuktikan komitmen kami menyampaikan pengalaman cemerlang di setiap fairway,” katanya.
Kejohanan berformat Stableford 27 lubang itu disertai 182 pemain golf termasuk 60 tetamu kehormat (VIP).
Antara tetamu yang hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat, Datuk Low Gee Teong dan Low Gee Soon, serta Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Tuanku Ja’afar.
Turut hadir ialah Duta New Zealand, Mike Walsh; Duta Hungary, Dr. Sandor Sipos; Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr dan Thura Soe-Ping yang mewakili Duta Brazil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah; Ketua Komersial Batik Air, Yoganathan Muniandy dan Pengarah Kanan F&N Holdings Bhd., Datuk Raffiq Md. Ariff, pempengaruh golf, pencipta kandungan serta wakil kerajaan.
Pada kejohanan itu, Suhaimi Yassin muncul juara kategori A dengan skor 62 mata, diikuti Mohd. Hasrul Firdaus (naib juara-skor 61 mata) dan Abu Qasim Mohd. Salleh (tempat ketiga-skor 58 mata). Manakala bagi Kategori B pula tempat pertama dimenangi oleh Mohd. Zain Mohd. Tahir (60 mata OCB); kedua milik Sheikh Mohd. Basri (60 mata) dan ketiga milik Ben Gomez (58 mata).
Peserta turut menerima beg cenderamata, pakaian kejohanan khas dan menikmati jamuan barbeku dengan persembahan muzik secara langsung oleh kumpulan busker D’ Mezzo.
The post Kumpulan Low Yatt sumbang RM10,000 kepada PBSM appeared first on Kosmo Online.

