Kuota petrol subsidi Pulau Tioman tidak cukup, penduduk rayu pengecualian penuh

LocalTravel
25 May 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kuota petrol subsidi Pulau Tioman tidak cukup, penduduk rayu pengecualian penuh
Kuota petrol subsidi di Pulau Tioman yang didakwa tidak lagi mencukupi bagi menampung keperluan harian penduduk setempat. Gambar hiasan

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang memandang serius isu kuota petrol  subsidi di Pulau Tioman yang didakwa tidak lagi mencukupi bagi menampung keperluan harian penduduk setempat.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, kuota semasa sebanyak 1,000 liter seminggu dilihat tidak selaras dengan kadar penggunaan sebenar masyarakat di pulau berkenaan, khususnya melibatkan sektor pengangkutan laut dan aktiviti ekonomi penduduk.

Menurutnya, keadaan geografi Pulau Tioman yang bergantung kepada pengangkutan bot menjadikan petrol subsidi sebagai keperluan asas utama penduduk.

"Sebahagian besar kampung di pulau ini hanya boleh dihubungi melalui laluan laut, termasuk perjalanan ke Kampung Tekek yang menjadi pusat utama urusan pentadbiran, perkhidmatan dan ekonomi masyarakat setempat.

"Keadaan ini menyebabkan penduduk amat bergantung kepada bekalan petrol subsidi untuk urusan harian seperti mendapatkan bekalan makanan, menghantar anak ke sekolah, menjalankan aktiviti perniagaan serta mendapatkan rawatan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, Pertubuhan Peladang Kawasan Tioman telah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan penambahan kuota atau pengecualian penuh bagi penduduk pulau berkenaan.

Katanya, berdasarkan laporan penggunaan semasa, keperluan diesel pada musim monsun merekodkan penggunaan minimum sekitar 2,700 liter seminggu, manakala ketika musim puncak pelancongan penggunaan boleh mencecah lebih 15,000 liter seminggu.

Jelasnya, peningkatan aktiviti ekonomi serta pertambahan keperluan harian penduduk menjadikan kuota sedia ada tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

"Kerajaan negeri turut berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan penduduk serta kelangsungan ekonomi di pulau pelancongan itu terus terpelihara.

"Difahamkan, permohonan tersebut dikemukakan pada 19 Mei bersama laporan jualan petrol subsidi tahun 2025 sebagai dokumen sokongan," ujarnya.