
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (12 Mei), Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong memaklumkan kuota 200 liter BUDI95 berpotensi dikurangkan lagi kepada 150 liter sebulan.
Perkara itu dikatakan selari dengan usaha kerajaan bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik ketika berdepan dengan krisis bekalan global ekoran daripada konflik yang berlaku di Asia Barat.
Baca Artikel Berkaitan: Kuota BUDI95 Mungkin Dikurangkan Dari 200 Ke 150 Liter Sebulan, Kata Timb. Menteri Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: Gencatan Senjata 2 Minggu AS & Iran: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Bagaimanapun, hebahan pengumuman ini telah mendapat pelbagai reaksi yang mana rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengannya. Malah, MCA juga menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PMKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, langkah itu akan memberi kesan besar khususnya buat mereka yang bergantung kepada perjalanan harian terutamanya isi rumah dwipendapatan di bandar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Cadangan Pengurangan Kuota Tidak Realistik
Tambah beliau, kuota 150 liter itu adalah tidak realistik terutamanya buat mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh di kawasan bandar.
“Kuota 150 liter sebulan sememangnya tidak mencukupi bagi kebanyakan keluarga yang perlu berulang-alik ke tempat kerja setiap hari, menghantar anak ke sekolah dan menguruskan tanggungjawab rumah tangga, khususnya mereka yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor Bahru dan George Town.
“Pada masa kini, kebanyakan isi rumah di bandar mempunyai kedua-dua pasangan yang bekerja dengan sekurang-kurangnya dua buah kereta bagi setiap keluarga.
“Di kawasan seperti Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang, orang ramai berdepan kesesakan lalu lintas serta perjalanan yang panjang setiap hari, menjadikan cadangan kuota 150 liter itu jelas tidak realistik,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Sistem Pengangkutan Awam Yang Lemah Tidak Membantu
Menurut Lawrence, walaupun kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, sistem sedia ada masih memerlukan penambahbaikan terutama dari segi liputan rangkaian dan sambungan ‘last mile’.
Sistem pengangkutan awam yang lemah, kekerapan perkhidmatan tidak konsisten dan kemudahan pertukaran pengangkutan yang tidak mesra pengguna hanya akan menyukarkan rakyat sekaligus menjadi punca mengapa ramai masih bergantung kepada kenderaan sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: “Tolong Fikir Nasib Pengguna” – Ramai Penumpang Tak Setuju Susunan Jadual Baru KTMB
MCA Persoal Data Diperoleh Kerajaan Tentang Jumlah Petrol Yang Digunakan Oleh Rakyat
MCA dalam masa sama turut mempersoalkan ketepatan data yang digunakan kerajaan mengenai kadar penggunaan petrol. Lawrence menggesa kerajaan supaya menjelaskan secara terperinci bagaimana angka tersebut diperoleh, sama ada data itu benar-benar tepat dan boleh dipercayai.
Sebelum ini, Liew Chin Tong berkata bahawa 80% rakyat di negara ini menggunakan kurang daripada kuota semasa iaitu 200 liter petrol sebulan, 60% menggunakan kurang daripada 150 liter, dan 50% menggunakan kurang daripada 100 liter.
“Memperkenalkan langkah kuota yang lebih ketat ketika rakyat dan perniagaan sudah pun bergelut dengan peningkatan kos sara hidup serta kos operasi hanya akan memburukkan lagi beban kewangan sedia ada.
“Sekarang adalah masa untuk menghentikan pendarahan, bukannya menambah luka. Ramai rakyat Malaysia dan perniagaan sedang menanggung kesukaran yang besar dan berusaha keras untuk terus bertahan. Kerajaan tidak sepatutnya menambah lagi beban pada waktu ini, sebaliknya perlu memberi fokus kepada usaha meringankan tekanan yang dihadapi rakyat,” tegas Lawrence lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Kuota BUDI95 Dikurangkan Untuk Elak Rakyat Tanggung Beban Pada Masa Depan – Anwar
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Harga Minyak Mentah Global Turun Tapi Di Stesen Minyak Kita Tidak? Ini Penjelasan MoF






