
KUALA LUMPUR: Hanya 0.33 peratus guru disahkan mempunyai masalah kesihatan mental berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e-2PK) Kementerian Pendidikan.
Jumlah itu adalah kurang daripada satu peratus berbanding jumlah keseluruhan guru di negara ini berdasarkan rekod sehingga 25 September lalu.
Daripada jumah itu, seramai 0.46 peratus guru mendapatkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan manakala 0.13 peratus guru pula mempunyai masalah kesihatan fizikal.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, bagi memastikan sokongan psikososial, pihak kementerian melaksanakan saringan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) yang bertujuan untuk melihat tahap kesejahteraan psikologi warga pendidik, bantuan kaunseling dan kestabilan institusi dapat dirancang dengan optimum.
Berdasarkan data profiling IKPsi sehingga 9 Ogos lalu, katanya, seramai 82,126 guru telah menjalani saringan tersebut.
“Daripada jumlah berkenaan, 99.16 peratus berada pada tahap sejahtera yang merangkumi 50,869 orang guru tahap tinggi dan 30,566 orang guru berada pada tahap sederhana tinggi, manakala 0.84 peratus memerlukan intervensi segera yang merangkumi 636 orang guru berada dalam tahap sederhana, 32 orang guru berada di tahap sederhana rendah dan 23 orang guru berada tahap rendah.
“Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) mengenai bilangan guru dalam kategori masalah kesihatan dan kecelaruan mental serta langkah intervensi dan bantuan sokongan yang dilaksanakan KPM bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya. – UTUSAN
The post Kurang 1% guru ada masalah mental – KPM appeared first on Utusan Malaysia.






