
PETALING JAYA – Usia sudah mencecah 50 tahun menjadi faktor utama aktor Azhan Rani lebih selesa memilih drama atau filem genre selain aksi kerana tidak menuntut kekuatan fizikal selain mengelak jadual penggambaran yang terlalu lama.
“Saya berterus-terang, tidak lagi begitu berminat dengan filem aksi tambahan pula faktor umur, rasa cepat ‘pancit’ (letih) dan cepat mengantuk.
“Dulu-dulu saya boleh buat macam habiskan penggambaran sekitar pukul 4 pagi kemudian sambung esok untuk cerita lain pula tetapi sekarang baru buat dua babak pun sudah mengantuk.
“Mungkin kerana faktor umur yang sudah masuk 50, jadi rasa berbeza, nak memandu kereta sekarang pun cepat mengantuk. Bunyi macam angkuh pula tapi saya percaya semua rezeki dari Allah SWT,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dia juga mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan apabila terlibat dengan babak aksi kerana enggan menjejaskan kerja-kerja dengan produksi lain.
“Bukanlah tolak terus tawaran tetapi perlu juga tengok pada jalan cerita namun banyak benda saya kena fikirkan.
“Penting untuk saya pertimbangkan faktor masa dan kesihatan sebab risau juga kalau muka sudah ‘pecah’ atau cedera untuk projek itu, susah pula nak berlakon bagi produksi lain dalam masa sama.
“Jadi, saya rasa bila tidak mampu lakukan, saya akan tolak awal. Kalau boleh, saya memang akan terima,” katanya lagi.
Bukan sahaja filem aksi, dia juga mengakui naskhah seram juga antara yang kurang digemari kerana menuntut pengorbanan masa terlalu lama di set penggambaran.
“Kalau sebut pasal genre, sebagai pelakon sebenarnya berterus-terang saya lebih suka naskhah genre drama. Saya suka tengok cerita aksi tapi tak suka buat genre tersebut.
“Sama juga dengan cerita seram, kurang suka, bukan sebab saya takut tapi kerana lambat. Efek-efek khas dia lambat, menunggu hantu nak bersiap, alahai lambat.
“Lagilah kalau jadi hantu, orang lain dah pulang tetapi kita tak balik lagi sebab nak tanggalkan semua solekan. Dah datang awal tetapi balik paling lambat,” ujarnya.
Berkongsi mengenai filem aksi Chelot yang dibintanginya, Azhan mengakui menerima tawaran naskhah arahan Adrian Teh itu disebabkan tidak terlibat dengan mana-mana babak lagak ngeri.
“Saya terima filem Chelot yang akan ditayangkan tidak lama lagi ini disebabkan tiada babak aksi.
“Babak saya hanya setakat poyo-poyo ‘posing’ begitu saja, tiada babak pegang senjata seperti pelakon lain. Watak saya sebagai pegawai polis yang banyak beri arahan.
“Pun begitu, saya tetap perlu serap mood pegawai polis bagi memastikan karakter terkawal bagi menjaga integriti dan imej unit beruniform,” jelasnya
Selain Azhan, Chelot yang bakal ditayangkan bermula 27 Ogos depan turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Beto Kushairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Alicia Amin dan Nadhir Nasar. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kurang minat sangat berlakon filem aksi, saya cepat pancit’ appeared first on Kosmo Digital.



