Arwah Cik Man selalu ingatkan jangan cakap keburukan orang lain – Azhan Rani

LocalEntertainment
6 Aug 2026 • 7:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Arwah Cik Man selalu ingatkan jangan cakap  keburukan orang lain – Azhan Rani

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azhan Rani mengakui terkejut dengan kehilangan Allahyarham Kamarool Yusoff, 68, selain terkilan naskhah lakonannya bersama arwah belum sempat ditayangkan.

Azhan atau Azhan Abdul Rani, 50, berkata, dia pernah bergandingan dengan Allahyarham yang mesra disapa Cik Man dalam beberapa projek drama, selain sebuah filem yang masih di peringkat perancangan.

“Memang saya sangat sedih dan terkejut kerana ada beberapa drama yang kami lakonkan bersama masih belum ditayangkan.

“Kebanyakannya menjalani penggambaran di Kelantan dan dalam salah satu drama itu, dia memegang watak sebagai bapa saya.

“Sepatutnya pada September ini kami akan bergandingan sekali lagi dalam sebuah filem yang dijadualkan menjalani penggambaran di Kelantan,” katanya.

Azhan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon dan pelancaran poster filem terbaharu lakonannya, Chelot di Bungalow 37, di sini, hari ini.

Menurut Azhan, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah beberapa bulan lalu ketika masing-masing menjalani penggambaran di Terengganu.

“Saya baru sahaja berjumpa dengannya ketika penggambaran Bulan Henti Bicara di Terengganu. Kebetulan kami menginap di tempat yang sama kerana dia ketika itu sedang menjalani penggambaran sebuah telefilem.

“Malam itu kami sempat berbual. Namun, pemergiannya amat mengejutkan kerana dia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami sakit yang berpanjangan.

“Ketika bertemu tempoh hari, saya sempat bergurau dan berpesan, ‘Cik Man, kurangkanlah merokok,’ kerana saya tahu dia memang seorang perokok tegar,” katanya.

Mengulas mengenai keperibadian Allahyarham, Azhan berkata, Cik Man sentiasa menceriakan suasana di lokasi penggambaran selain sering menitipkan nasihat kepada rakan-rakan artis agar tidak membuka aib orang lain memandangkan industri hiburan di negara ini kecil.

“Saya tidak begitu ingat semua nasihatnya, tetapi satu perkara yang sentiasa melekat di ingatan ialah pesannya supaya kami yang berada dalam industri ini tidak bercakap mengenai keburukan orang lain.

“Katanya, kita perlu menjaga diri sendiri kerana apa sahaja keburukan yang diperkatakan mengenai orang lain, suatu hari nanti boleh kembali kepada diri kita sendiri.

“Itulah antara pesanan yang paling saya ingat, walaupun ketika itu dia menyampaikannya dalam loghat Kelantan dengan cara yang cukup bersahaja,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Kamarool dilaporkan meninggal dunia akibat masalah saluran jantung tersumbat di Hospital Tanah Merah, Kelantan pada pukul 5.15 petang semalam.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, Tanah Merah pada pukul 11.50 pagi tadi. – UTUSAN

The post Arwah Cik Man selalu ingatkan jangan cakap keburukan orang lain – Azhan Rani appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved