
Menantu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang juga ahli Lembaga Eksekutif Gaza, Jared Kushner, dilaporkan membantah keras tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung pengendalian pelan tindakan Gaza berikutan perbezaan pendapat yang semakin memuncak.
Menurut laporan media Israel, Channel 14, memetik sumber yang rapat dengan perbincangan tersebut pada Isnin, Kushner dan Netanyahu telah mengadakan beberapa siri perbualan yang amat tegang berhubung langkah pelaksanaan rancangan berkenaan.
Kushner mencabar penentangan Netanyahu terhadap fasa pelaksanaan pelan tersebut sambil menegaskan bahawa inisiatif itu sebenarnya dibentuk berpandukan kehendak Pemimpin Israel itu sendiri yang mahukan alternatif kepada pendudukan tentera dan pemerintahan Hamas di Gaza.
“Anda merosakkan idea yang anda inginkan sendiri,” kata Kushner kepada Netanyahu sambil menuduh Pemimpin Israel itu sengaja menghalang pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Netanyahu menolak syarat-syarat yang akan meletakkan Gaza di bawah undang-undang Palestin atas alasan langkah itu seolah-olah menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Ketegangan itu berpunca daripada tindakan Netanyahu pada Ahad yang menolak dokumen 15 perkara yang dikemukakan oleh Lembaga Keamanan. Beliau berdegil bahawa pasukan tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza selagi Hamas tidak dilucutkan senjata sepenuhnya.
Pelan tindakan ini merupakan sebahagian daripada fasa kedua rancangan gencatan senjata yang diusahakan oleh AS sejak Oktober 2025. Fasa tersebut merangkumi penyerahan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokratik Palestin, penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, serta proses pengunduran tentera Israel dan pembinaan semula Gaza secara berperingkat.
Meskipun gencatan senjata diisytiharkan pada Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pihak Israel terus melanggar perjanjian itu dengan mengorbankan sekurang-kurangnya 1,258 nyawa lagi. Secara keseluruhannya, serangan Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Sumber: TRT World / Agensi (Kushner confronts Netanyahu as rift deepens over Gaza roadmap — report)



