SHAH ALAM - Usaha memperluas akses kredit dan pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang lebih inklusif menjadi antara fokus utama pertemuan antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, beliau menekankan keperluan meningkatkan sokongan pembiayaan kepada PMKS khususnya kepada usahawan baharu dan peminjam kali pertama.
Katanya, pertemuan itu juga menyentuh potensi pendekatan pembiayaan hibrid atau ‘blended financing’ bagi menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara untuk menyokong pertumbuhan PMKS.
“Saya menyambut baik pengumuman BNM mengenai Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) berjumlah RM5 bilion bagi membantu PMKS yang terjejas akibat krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat yang berterusan.
“Pengumuman ini hadir bertepatan dengan pertemuan saya bersama Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour di BNM pagi tadi bagi membincangkan peranan strategik bank pusat dan institusi kewangan dalam memperkukuh ekosistem PMKS, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Dalam mendepani cabaran semasa, sokongan kepada PMKS memerlukan pendekatan ‘all hands on deck’ melibatkan kerajaan, institusi kewangan, sektor perbankan dan seluruh ekosistem keusahawanan, selari dengan misi KUSKOP ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, BNM dilapor memperkenalkan kemudahan SME SRF, pembiayaan berjumlah RM5 bilion untuk membantu PKS termasuk perusahaan mikro,yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat.
SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini.
PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun termasuk yuran jaminan.
Pembiayaan itu akan disokong oleh jaminan hingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi.
Steven menegaskan, KUSKOP komited bukan sahaja untuk memastikan lebih banyak perniagaan tempatan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global akibat konflik Asia Barat, malah merebut peluang untuk terus berkembang, meningkatkan produktiviti dan melonjak ke tahap seterusnya.
Kata beliau lagi, sehingga Mac 2026, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (DFI) telah mencecah RM443.8 bilion.
Angka itu mewakili hampir 51 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan sekali gus menjadi satu asas kukuh untuk diperkasa dengan sokongan lanjut.



