hamden10/04/2026 - 14:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggariskan beberapa bidang kerjasama strategik bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurus kos operasi dengan lebih berkesan dalam persekitaran tenaga yang tidak menentu.
Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong berkata, antara fokus utama kerjasama itu adalah penyelarasan insentif atau tarif elektrik yang lebih bersesuaian untuk PMKS melalui SME Corp. Malaysia.
"Selain itu, kedua-dua pihak akan mempergiat usaha memperluas penggunaan skim Time-of-Use (ToU) melalui kempen bersama bagi membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan elektrik dan seterusnya mengurangkan kos operasi.
"Ketiga, kedua-dua pihak akan memperkukuh kerjasama dalam aspek pendigitalan dan peralihan tenaga termasuk memperluas akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan yang lebih fleksibel seperti zero capex, selaras dengan agenda ESG dan usaha mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu," katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu Steven Sim telah mengadakan pertemuan bersama TNB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad, bagi membincangkan langkah sokongan kepada PMKS dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
Dalam pertemuan tersebut, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah praktikal bagi membantu PMKS mengurus kos operasi dengan lebih berkesan, menambah baik aliran tunai serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).
Stesen Sim berkata dari segi pembangunan kapasiti, kedua-dua pihak akan bekerjasama menerusi Institut Keusahawanan Negara bagi memperluas program latihan dan pembangunan keupayaan usahawan, meliputi pengurusan kewangan serta pengembangan dan penskalaan perniagaan.
Dalam jangka panjang, Steven Sim menegaskan kepentingan membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk menyertai ekosistem peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menurutnya, ini termasuk peluang dalam sektor baharu seperti tenaga solar, kenderaan elektrik (EV), pusat data serta teknologi tenaga melalui platform seperti Energy Transition Conference.
“KUSKOP akan bekerjasama rapat dengan TNB untuk meneroka insentif bersasar serta memperluas kesedaran bagi memastikan lebih ramai PMKS dapat memanfaatkan inisiatif ini.
“Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu,” katanya. - DagangNews.com
