KUSKOP Luluskan Hampir RM100 Juta, Bantu 4,300 Usahawan Melaka

LocalBusiness & Finance
20 Jun 2026 • 8:01 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seramai 4,300 usahawan di negeri ini menerima manfaat pembiayaan hampir RM100 juta yang diluluskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembiayaan itu disalurkan menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Melaka.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Melaka bersempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) yang bertujuan mendekati usahawan serta melihat sendiri pelaksanaan inisiatif keusahawanan di peringkat akar umbi.

Image from: KUSKOP Luluskan Hampir RM100 Juta, Bantu 4,300 Usahawan Melaka

Menurutnya, pada hari pertama lawatan kerja tersebut, beliau turut menghadiri sesi Mega Meet & Greet bersama kira-kira 50 usahawan di Malim Food Town yang turut menjadi platform pertemuan antara kerajaan dan pemain industri kecil tempatan.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan hampir RM1 juta pembiayaan kepada 18 usahawan yang layak menerusi TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.

“Melalui pembiayaan ini, kita bantu perniagaan rakyat Malaysia untuk berkembang. Bila perniagaan berkembang, manfaatnya bukan sahaja kepada pemilik, tetapi juga kepada pekerja dan komuniti setempat,” katanya.

Image from: KUSKOP Luluskan Hampir RM100 Juta, Bantu 4,300 Usahawan Melaka

Program berkenaan turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Seah Soo Chin, serta disertai sembilan agensi di bawah KUSKOP yang menyediakan pelbagai khidmat nasihat dan sokongan keusahawanan.

Secara keseluruhan, KUSKOP turut memaklumkan bahawa pembiayaan berjumlah RM5 bilion telah diluluskan di peringkat nasional dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, memberi manfaat kepada hampir 180,000 usahawan di seluruh negara.

Kementerian itu juga menyasarkan penyaluran RM15 bilion pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi inisiatif PowerUp10K sepanjang tahun ini bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

The post KUSKOP Luluskan Hampir RM100 Juta, Bantu 4,300 Usahawan Melaka appeared first on Borak Daily.