Kuskop, Mide perkukuh kerjasama keusahawanan

LocalBusiness & Finance
12 Mar 2025 • 3:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (Mide) memperkukuhkan kerjasama penyelarasan pembangunan keusahawanan di negeri ini.

Bagi tujuan itu mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) Bilangan 1/2025, yang dipengerusikan oleh menteri masing-masing, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Phoong Jin Zhe, membincangkan pelbagai perkara berkaitan keusahawanan.

Mesyuarat di Shangri-La Tanjung Aru itu dihadiri Pembantu Menteri Mide Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Setiausaha Tetap Mide Datuk Thomas Logijin serta Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kuskop Azizul Alias.

Sebanyak enam kertas dibentangkan, iaitu mengenai skim pembiayaan SME Corp Malaysia, Program Bantuan SME-UP oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Yayasan Hasanah, e-Lesen: Portal Lesen Perniagaan Dalam Talian oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) dan taklimat mengenai cadangan rangsangan pemerkasaan penjualan dagang bagi PMKS Sabah ke Semenanjung oleh TikTok Shop.

Ewon berkata, Kuskop komited dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui pelaksanaan program keusahawanan dan juga koperasi di bawah kementerian dan agensi.

“Pada tahun ini, Kuskop akan bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Mide untuk menjayakan Program Madani Rakyat (PMR) yang akan diadakan di Tawau pada 9 hingga 11 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, Kuskop menyalurkan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta kepada 53,395 usahawan dan koperasi di Sabah melalui agensinya iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Selain itu, katanya, Institut Keusahawanan Negara (Insken) juga melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di negeri ini tahun lepas, melibatkan 1,585 usahawan.

“Kuskop juga melaksanakan pembinaan baharu dan penaiktarafan 59 tapak projek Tamu Desa di seluruh Sabah dengan peruntukan RM11.78 juta,” katanya.

Ewon berkata, tahun ini, Kuskop akan melaksanakan Program Khas Ehsan@Kuskop untuk membantu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah.

“Bagi tujuan ini, usaha digerakkan melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih, terutama di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya.

Mengenai Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, Ewon berkata, beliau memperkenalkan dasar itu untuk memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi Sabah dan Sarawak.

“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian ini di seluruh negara, Kuskop menggariskan fokus tambahan kepada Malaysia Timur, terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.

“Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kuskop. khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah, ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS, Biasiswa Kerajaan Sabah untuk Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM),” katanya.

Katanya, Kuskop juga melancarkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) pada 8 Februari bertujuan memperkukuh ekosistem francais di Malaysia dan memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara.