KUSKOP umum tiga inisiatif bantu ringan beban kos operasi PMKS

LocalBusiness & Finance
7 May 2026 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KUSKOP umum tiga inisiatif bantu ringan beban kos operasi PMKS
Steven Sim Chee Keong

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan tiga inisiatif utama bagi membantu meringankan beban usahawan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut diambil oleh UDA Holdings Bhd (UDA) bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan kadar sewaan premis perniagaan.

Menurutnya, inisiatif itu termasuk mengambil pendekatan holistik dan berhemah bagi membantu para peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah dan bangunan komersial di bawah milikan serta seliaan UDA.

“Pemberian diskaun sewa sehingga 20 peratus dengan pelaksanaan secara bersasar berdasarkan dua kategori pelaksanaan.

“Pemberian 10 peratus kepada semua penyewa dan tambahan diskaun 10 peratus secara bersasar kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA bermula Mei sehingga Disember 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Perdana Menteri mengurangkan kadar sewa premis perniagaan di bawah agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada bulan ini.

Anwar berkata, perkara itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh penjaja dan peniaga kecil ekoran tekanan kos yang berpunca daripada krisis bekalan global yang semakin meruncing.

Mengulas lanjut, Steven menjelaskan, inisiatif kedua melibatkan pelaksanaan moratorium bagi memberi sokongan aliran tunai PMKS melalui pembayaran sewa bulanan yang lebih fleksibel.

“Ini termasuk kebenaran tunggakan sewa sehingga tiga bulan kepada penyewa yang terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan usaha ketiga iaitu bantuan kos utiliti yang bertujuan mengurangkan kos operasi PMKS secara tidak langsung.

“Inisiatif ini melalui penangguhan kenaikan caj perkhidmatan operasi operasi kompleks di mana UDA akan menanggung kos kenaikan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, UDA dijangka akan menanggung kos sebanyak RM12.5 juta untuk melaksanakan segala bantuan kepada peniaga-peniaga dan usahawan PMKS.