PETALING JAYA – Pengiktirafan diterima Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (BPU PKNS) menerusi Anugerah Pilihan Juri pada Malam Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026 menjadi pemangkin semangat kepada agensi itu untuk terus memperkukuhkan program pembangunan usahawan.
Pengurus BPU PKNS, Yuzawati Yusof berkata, anugerah tersebut memberi motivasi kepada pihaknya untuk menyediakan program-program keusahawanan yang lebih berkualiti demi manfaat usahawan di luar sana.
“Ini adalah anugerah pertama seumpama ini yang kami terima, sebab itu kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Sinar Harian ini.
**media[3513296]**
“Sebagai agensi membimbing, anugerah bukanlah sasaran utama sebab apa yang kami mahu adalah kejayaan usahawan-usahawan yang kami bimbing itu tetapi bila diiktiraf, ia memberikan satu bonus ataupun menjadi satu lagi pemangkin semangat kepada kami,” katanya pada Malam BISA 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Rabu.
Secara keseluruhannya seramai 32 usahawan dan organisasi merangkul 37 anugerah dalam BISA 2026 anjuran Sinar Harian di bawah Karangkraf untuk mengangkat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri media tempatan, Sinar Harian terus berperanan sebagai platform kewartawanan yang dipercayai, konsisten mengangkat kisah rakyat termasuk perjuangan dan sumbangan usahawan PMKS.
**media[3513297]**
Lebih bermakna, BPU PKNS turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemangkin Ekosistem Usahawan.
Yuzawati menegaskan, kejayaan yang dicapai usahawan bimbingan BPU PKNS turut mendorong pasukannya untuk terus komited membantu golongan berkenaan terus melebarkan sayap dalam dunia perniagaan.
“Apabila melihat usahawan-usahawan yang kami bimbing berjaya, ia juga memberi kami motivasi. Kejayaan mereka menjadi penguat semangat kepada kami setiap kali berdepan cabaran dalam melaksanakan tugas.
“Apa yang boleh dikatakan, sepanjang memberi bimbingan kepada usahawan-usahawan ini, kami melihat mereka punya keinginan yang tinggi untuk terus berkembang,” ujarnya.






