Kusta Di Negeri Sembilan: 368 Penduduk Jalani Saringan

21 Feb 2025 • 1:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Situasi penyakit kusta di Kuala Pilah disahkan sebagai terkawal - Gambar KKM

KUALA LUMPUR - Seramai 368 penduduk telah menjalani saringan kesihatan di Negeri Sembilan sehingga Rabu lalu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, saringan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan itu dilakukan di Kampung Chergun dan Kampung Guntur dekat Kuala Pilah.

Menurut beliau, ia adalah antara tindakan yang diambil untuk mempergiat pengesanan kes kusta di kedua kampung berkenaan.

“Semua langkah ini adalah sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak Julai tahun lalu. 

“Sehingga kini, sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut regim garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya di sini hari ini. 

Jelas jurucakap tersebut, seorang pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun bagaimanapun telah meninggal dunia pada 17 Februari lalu. 

“Sebelum itu, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberi rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi dari pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.

“Ahli keluarga pesakit membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari tetapi dia meninggal dunia keesokan harinya,” katanya. 

Beliau memberitahu, aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan. 

“Mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“KKM memberi jaminan bahawa situasi kusta di Kuala Pilah adalah terkawal dan pesakit kusta juga tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan,” katanya. - Getaran, 21 Februari 2025